Rumah Ngaji @ Surau Melati UiTM jadi platform bina masyarakat al-Quran

Duduk dari kiri, Penasihat Rumah Ngaji @ Surau Melati, Ustaz Faizan Tajuid, Muhammad Nasir, Shahsuzan, Nor Aizam Adnan dan Sofizah bersama barisan tetamu dan pelajar UiTM.
Duduk dari kiri, Penasihat Rumah Ngaji @ Surau Melati, Ustaz Faizan Tajuid, Muhammad Nasir, Shahsuzan, Nor Aizam Adnan dan Sofizah bersama barisan tetamu dan pelajar UiTM.
A
A
A

SERAMAI 1,000 penghuni Kolej Kediaman Melati menghadiri Majlis Pelancaran Rumah Ngaji @ Surau Melati, Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini pada 13 Oktober 2023.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

MUHAMMAD NASIR
MUHAMMAD NASIR

Beliau dalam ucapannya berkata, graduan yang hebat mempunyai al-Quran di dalam jiwanya. Orang yang mengamalkan al-Quran mampu membina negara selamat dan maju.

“Negara yang dipimpin tanpa panduan al-Quran menjadi kucar-kacir kerana berlaku rasuah di sana sini. Apakah ini warisan yang ingin ditinggalkan kepada anak cucu kita? Golongan muda merupakan bakal pemimpin yang menentukan masa hadapan negara.

“Rumah Ngaji sebagai platform untuk mempelajari al-Quran melalui baca, faham dan amal. Pelajar disarankan untuk membaca al-Quran setiap hari selain menjaga solat dan berinfak. Jika kita mengamalkan tiga perkara tersebut, jiwa jadi tenang.

“Saya berharap gerakan kempen berinteraksi dengan al-Quran yang bermula dari Rumah Ngaji di Kolej Melati UiTM terus berkembang ke seluruh UiTM hingga ke peringkat global. Mereka boleh mengadakan pelbagai program berteraskan al-Quran.

Artikel Berkaitan:

“Usaha penubuhan Rumah Ngaji @ Surau Melati mampu membentuk budaya al-Quran dalam kalangan warga UiTM, seterusnya membina legasi 'MengQurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah',” katanya.

Sehingga kini, sebanyak 800 Rumah Ngaji berdaftar di seluruh negara dengan WUIF bagi menawarkan platform mengaji secara percuma kepada masyarakat.

Pihak WUIF turut mengalu-alukan orang ramai menyertai program tahunan seperti World #QuranHour, Arafah #QuranHour, Malaysia #QuranHour dan World #QuranConvention.

Sementara itu, Pengarah Pembangun Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof Madya Dr Shahsuzan Zakaria dalam ucapannya berkata, kita perlu bersyukur dilahirkan sebagai orang Islam dan al-Quran sebagai panduan kehidupan.

Beliau berkongsi mengenai pesanan datuknya yang merupakan guru ngaji berkata, al-Quran perlu dibaca dengan tartil, perlahan dan tepat. Bacalah al-Quran setiap hari sebagai kewajipan diri kita.

Orang yang rajin membaca dan mengamalkan isi kandungan al-Quran dimuliakan ALLAH SWT. Antara hikmah banyak membaca al-Quran adalah mudah faham ilmu. Ini sesuai diamalkan oleh golongan pelajar yang menuntut ilmu.

“Pihak Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM memberi sokongan terhadap program yang berbentuk kerohanian dalam membina kekuatan pelajar. Hari ini, golongan muda banyak berhadapan dengan isu kemurungan dan gangguan mental.

“Baca al-Quran al-Quran menjadi terapi terbaik dalam mendapatkan ketenangan dan lebih terurus dari segi emosi. Oleh itu, kita menyambut baik penubuhan Rumah Ngaji @ Surau Melati dengan mengimarahkan pelbagai program kerohanian sehingga melahirkan masyarakat al-Quran.”

Pengetua Kolej Kediaman Melati, Prof Madya Dr Nor Aizam Adnan berkata, Rumah Ngaji yang beroperasi di Surau Kolej Melati telah membuka ruang dan peluang kepada penghuni kolej kediaman untuk mendalami bidang al-Quran.

“Kita amat memahami kesukaran atau keterbatasan penghuni kolej kediaman terutamanya dalam kalangan siswi untuk mencari tempat belajar Al-Quran. Oleh itu, kita telah menubuhkan Rumah Ngaji ini untuk memudahkan mereka.”

Rumah Ngaji @ Surau Melati mendapat kerjasama daripada Bahagian Hal Ehwal UiTM Shah Alam yang telah menyediakan pakar dan tenaga pengajar bertauliah dalam kalangan mereka dan dibantu fasilitator pelajar Tahfiz Plus UiTM.

Turut hadir, Johan Qariah Tilawah Al-Quran Antarabangsa 2022, Sofizah Mousin yang memperdengarkan bacaan al-Quran pada sesi pembukaan Majlis Pelancaran Rumah Ngaji @ Surau Melati.

Dari kiri, Penasihat Rumah Ngaji@Surau Melati, Mohd Faizan Tajuid, Pengetua Kolej Melati, Prof Madya Dr Nor Aizam Adnan, dan Johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa 2022, Sofiza Muhsin.
Dari kiri, Penasihat Rumah Ngaji@Surau Melati, Mohd Faizan Tajuid, Pengetua Kolej Melati, Prof Madya Dr Nor Aizam Adnan, dan Johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa 2022, Sofiza Muhsin.