Dua kapal VLCC ditahan pindah minyak tanpa kebenaran

Kedua-dua kapal yang didapati melakukna aktiviti STS tanpa kebenaran. - Foto Maritim Malaysia Johor
Kedua-dua kapal yang didapati melakukna aktiviti STS tanpa kebenaran. - Foto Maritim Malaysia Johor
A
A
A

KOTA TINGGI - Maritim Malaysia menahan dua buah kapal jenis Very Large Crude Carrier (VLCC) yang sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran di perairan Johor Timur pada Isnin.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, penahanan dilakukan secara force boarding dengan menggunakan pesawat udara AS 365 Dauphin milik Maritim Malaysia selain dibantu tiga anggota Pasukan Tindakan Khas (PTK) Maritim Malaysia.

“Kedua-dua kapal terbabit telah dikesan oleh bot ronda Maritim Malaysia dan disyaki melakukan aktiviti ship to ship (STS) di kedudukan 32.1 batu nautika timur Tanjung Sedili pada jam 12.35 tengah hari.

“Kedua-dua kapal VLCC tersebut juga telah menolak dan enggan memberikan kerjasama bagi diperiksa oleh bot ronda Maritim Malaysia.

“Keadaan ini memaksa pihak Maritim Negeri Johor meminta bantuan dari Bahagian Operasi Udara dan PTK bagi melakukan force boarding sehinggalah kedua-dua kapal tersebut ditahan sekitar jam 6 petang,” katanya.

Untuk rekod, kapal tangki pertama yang berdaftar dari Panama dikendalikan 26 kru berusia antara 23 hingga 54 tahun melibatkan 20 warganegara India, Pakistan (tiga) dan seorang warganegara Rusia, Sri Lanka dan Georgia.

Kapal tangki kedua pula berdaftar dari Honduras dikendalikan 26 kru yang berusia antara 21 hingga 51 tahun melibatkan 14 warganegara India, Pakistan (11) dan seorang warganegara Republic Maldova.

Beliau berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 bagi kesalahan melakukan aktiviti kapal ke kapal (STS) tanpa kebenaran dan Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Nakhoda kapal terbabit juga telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran atas aktiviti yang dijalankan," katanya.

Justeru, nakhoda kedua-dua kapal berkenaan akan turut disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10 ribu atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah.