Pelajar maut motosikal bertembung kereta

Hyundai Getz dan motosikal mangsa yang terlibat dalam kemalangan di jalan Kampung Belukar Gorek, Bukit Payung pada Sabtu.
Hyundai Getz dan motosikal mangsa yang terlibat dalam kemalangan di jalan Kampung Belukar Gorek, Bukit Payung pada Sabtu.
A
A
A

MARANG - Seorang pelajar maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta dalam kejadian di jalan Kampung Belukar Gorek, Bukit Payung dekat sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superitenden Mohd Razman Setapa berkata, mangsa yang berusia 15 tahun itu maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Menurutnya, kemalangan itu melibatkan motosikal jenis Yamaha 125z dan kereta jenis Hyundai Getz dipandu seorang lelaki berumur 23 tahun dalam kejadian kira-kira jam 11.40 malam.

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku sewaktu mangsa dalam perjalanan dari arah Kampung Alor Limbat menghala ke Kampung Belukar Gorek.

"Apabila tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai telah masuk ke laluan bertentangan hingga menyebabkan berlakunya perlanggaran pada bahagian hadapan kanan kereta," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Mohd Razman berkata, akibat kejadian itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, manakala pemandu kereta tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Razman menyatakan orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu diminta hubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Syafiq Amsyar Zaharuddin di talian 09-6182222.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!