Lelaki bertopeng bersenjatakan parang samun wanita ditahan

Antara pakaian dan barangan dirampas polis selepas berjaya membekas lelaki yang memecah masuk dan menyamun seorang wanita di Felda Air Tawar 4, Kota Tinggi.
Antara pakaian dan barangan dirampas polis selepas berjaya membekas lelaki yang memecah masuk dan menyamun seorang wanita di Felda Air Tawar 4, Kota Tinggi.
A
A
A

KOTA TINGGI - Suspek lelaki yang mencederakan seorang wanita dengan parang semasa memecah masuk rumah di Felda Air Tawar 4, di sini pada Ahad berjaya diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, suspek yang merupakan warga tempatan berusia 30-an ditangkap di sebuah rumah di Felda itu pada hari sama jam 9 malam.

"Lelaki itu yang dipercayai terlibat kejadian samun menggunakan parang dan mencederakan seorang wanita warga tempatan berumur 50-an di Felda Air Tawar 4.

"Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine serta turut memiliki dua rekod dadah dan dua rekod jenayah lampau," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, susulan tangkapan suspek, polis berjaya menemui semula rantai tangan emas yang disamun serta merampas parang dan pakaian digunakan dalam kejadian berkenaan sekali gus berjaya menyelesaikan kes tersebut.

Kata Hussin, suspek direman selama tujuh hari bermula Isnin bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dikenakan denda atau sebatan.

"Kes juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

"Polis Kota Tinggi memberi amaran keras dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang terlibat dalam kes jenayah yang boleh mendatangkan kegusaran dan ketakutan penduduk Kota Tinggi khususnya," ujar beliau.

Dalam kejadian pada jam 12.50 tengah hari Ahad, suspek yang bersenjatakan parang memecah masuk rumah mangsa yang ketika itu tidur dalam bilik.

Suspek cuba menekup mangsa sebelum wanita itu terjatuh ke lantai dan berlaku pergelutan hingga lelaki berkenaan bertindak melibas parang dan terkena di bahagian dagu mangsa serta mengakibatkanya cedera.

Ketika kejadian suspek sempat merentap seutas rantai tangan emas yang dipakai mangsa sebelum melarikan diri.