Bayaran balik PTPTN melalui potongan gaji secara automatik

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA- Kaedah pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui pemotongan gaji secara automatik menerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) adalah satu cadangan praktikal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan dikemukakan oleh Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC) itu juga dilihat tidak membebankan peminjam.

"Pemberian insentif kepada individu dan majikan yang membuat pembayaran balik juga akan menggalakkan lebih ramai peminjam melaksanakan tanggungjawab sivik mereka kepada anak bangsa yang ingin menyambung pengajian tetapi tidak berkemampuan," katanya menerusi ucapan Majlis Penutup Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara di sini pada Isnin.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Ujar beliau, jaminan pembiayaan pendidikan secara berterusan antara salah satu cabaran terbesar kerajaan.

Menurutnya, PTPTN adalah penyumbang terbesar yang memungkinkan ramai rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

"Namun, dengan kadar bayaran balik pinjaman adalah amat rendah, kita bimbang dengan kelestarian PTPTN untuk jangka masa panjang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sehingga Mei lalu, jumlah pinjaman yang belum dibayar berjumlah RM66.9 bilion.

"Jumlah ini sekiranya dibayar, boleh membiayai kira-kira 2.5 juta orang pelajar baharu," ujar Anwar.

Beliau berkata, bagi mencapai aspirasi untuk membangunkan institusi bertaraf dunia, aspek kualiti dan daya saing perlu ditekankan di dalam sistem pendidikan.

"Salah satu cadangan NRC iaitu untuk memperkenalkan mekanisme baharu pembiayaan di mana universiti awam (UA) terikat dengan kerajaan menerusi Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA) untuk menghasilkan pelajar dan penyelidikan yang berkualiti tinggi," katanya.

Tambah beliau, daripada model geran blok turut dicadangkan supaya kerajaan membayar kepada Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) untuk perkhidmatan pendidikan berdasarkan formula pembiayaan berasaskan prestasi.

"Formula ini harus berdasarkan kebolehpasaran graduan, gaji siswazah, dan kualiti pendidikan.

"Institusi yang dapat menonjolkan prestasi baik akan diperuntukkan kos lebih tinggi bagi setiap pelajar," jelas Anwar.

Beliau berkata, daripada rancangan tahunan jangka pendek, NRC mencadangkan supaya dilaksanakan kitaran perancangan belanjawan tiga tahun sebagaimana yang telah dilaksanakan di Hong Kong.

"Perkara ini akan dikawal selia oleh Jawatankuasa Geran Universiti (UGC) yang akan mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan oleh institusi, menggariskan program dan jumlah sasaran pelajar berdasarkan bidang keperluan negara.

"Pembiayaan disediakan berdasarkan pendaftaran pelajar yang disasarkan," katanya.

Dalam pada itu, ujar Anwar kerajaan bersedia untuk mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan oleh NRC terutamanya yang akan memberi manfaat kepada rakyat amnya dan sektor pendidikan tinggi khususnya.

"Secara dasarnya, saya amat menyokong apa-apa bentuk reformasi yang ingin dilaksanakan kerana untuk terus maju ke depan, kita tidak dapat lari daripada melaksanakan perubahan dan anjakan penambahbaikan.

"Apatah lagi dalam konteks pembangunan negara yang merdeka dan mampan dari segi percambahan intelek, pembangunan modal insan, dan penguasaan ekonomi," katanya.