Keahlian Harrison dalam UMNO gugur secara automatik

Ahmad Zahid mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara Bilangan 2 Tahun 2023 di Perdana Putra pada Khamis. - Foto Bernama
Ahmad Zahid mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara Bilangan 2 Tahun 2023 di Perdana Putra pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A
PUTRAJAYA - Keahlian Datuk Harrison Hassan sebagai ahli UMNO, digugurkan selepas beliau diumumkan sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) mewakili Perikatan Nasional (PN), kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.



Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, pengguguran keahlian Harrison, adalah secara automatik selaras dengan perlembagaan UMNO dan peraturan dalam Lembaga Disiplin parti.

"Saya sudah dengar sebulan lebih awal, saya tidak terkejut (Harrisson bertanding PRN). Kita hanya memerlukan ahli yang taat kepada parti mengikut peraturan parti,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) Bil.2 Tahun 2023, di sini pada Khamis.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Harrison yang merupakan Timbalan Ketua UMNO Sungai Buloh, sebagai calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, Selangor.



Mengenai laporan kononnya UMNO menuntut jawatan Timbalan Menteri Besar Selangor dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang sekiranya memenangi PRN, Ahmad Zahid berkata, perkara berkenaan tidak pernah dibincangkan.

"Apa yang penting ialah sekurang-kurangnyanya tiga negeri yang sedia ada di bawah Kerajaan Perpaduan, untuk memenangi semula negeri berkenaan.

"Tiga negeri yang bukan di bawah Kerajaan Perpaduan, kita mesti berusaha dengan lebih kuat dan penuh kebijaksanaan politik untuk kita meraih dukungan, daripada pengundi di negeri berkenaan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Ogos ini sebagai hari pengundian PRN di Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, manakala tarikh penamaan calon pada Sabtu ini dan pengundian awal pada 8 Ogos. - Bernama