Kes dadah: Yasin bebas atau bersalah diketahui 29 November

Yasin Sulaiman
Yasin Sulaiman
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin menetapkan 29 November depan untuk keputusan di akhir kes pembelaan membabitkan penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman berhubung tiga pertuduhan dadah.

Hakim, Faiz Dziyauddin menetapkan tarikh berkenaan selepas pihak pembelaan menutup kes sejurus satu-satunya saksi bagi pihak Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 48, iaitu Pakar Perunding Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak Dr Ian Lloyd Anthony selesai memberi keterangan.

Mahkamah kemudiannya mengarahkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis pada atau sebelum 15 November.

Sekiranya mahkamah mendapati pihak Yasin berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan, penyanyi lagu 'Mimpi Laila' akan dilepas dan dibebaskan serta-merta.

Ini akan memberi peluang kepada keluarganya untuk menghantar Yasin ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, bagi mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, jika hakim memutuskan sebaliknya, bapa tunggal kepada dua anak itu berdepan hukuman penjara atau sebat atau kedua-duanya, bagi semua pertuduhan itu.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin sementara peguam, Ariff Azami Hussein mewakili Yasin.

Perbicaraan kes pendakwaan bermula 28 Ogos lalu dengan tujuh saksi dipanggil memberi keterangan antaranya kakitangan di Bahagian Narkotik, Jabatan Kimia Malaysia, Dr J Saravanan Kumar dan Pegawai Risikan, Operasi dan Tahanan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Inspektor Darwis Aripin.

Artikel Berkaitan:

Pada 3 Oktober lalu, Yasin diperintah membela diri atas tiga kesalahan dadah selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada 6 Julai tahun lalu, Yasin bernasib baik kerana tidak berdepan peruntukan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.

Ia selepas pertuduhan mengedar dadah ditarik balik dan penyanyi itu dituduh semula atas pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang pada 24 Mac 2022 dan dituduh mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

Bagi satu lagi pertuduhan, Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Dia turut didakwa atas satu lagi pertuduhan memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.