MGB Berhad tandatangan MoU bersama syarikat Arab Saudi

A
A
A

Tan Sri Ir. Lim Hock San (lima dari kiri), Majed Mohammad Al Shalhoob (tiga dari kanan) dan Bandar Mohammed Al Amre (empat dari kanan) bersama barisan tetamu kehormat termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan Datuk Richard Lim Lit Chek (dua dari kiri) di majlis menandatangani MOU yang berlangsung di The Ritz-Carlton Riyadh.
Tan Sri Ir. Lim Hock San (lima dari kiri), Majed Mohammad Al Shalhoob (tiga dari kanan) dan Bandar Mohammed Al Amre (empat dari kanan) bersama barisan tetamu kehormat termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan Datuk Richard Lim Lit Chek (dua dari kiri) di majlis menandatangani MOU yang berlangsung di The Ritz-Carlton Riyadh.

SHAH ALAM – MGB Berhad (MGB) iaitu penyedia solusi perkhidmatan dan pembangunan hartanah serta anak syarikat LBS Bina Group Berhad, telah memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Almqr Development Co (ALMQR) dan Alameriah Real Estate Development Company’ (ALAMERIAH) pada Sabtu lepas.

Dalam satu kenyataan hari ini memberitahu ALMQR tertubuh menerusi Titah Diraja dan bertindak sebagai sayap pelaburan bagi Majlis Perbandaran Madinah, dengan matlamat untuk membangunkan bandar moden di samping mewujudkan persekitaran kondusif yang mempertingkatkan gaya hidup.

Sementara itu, ALAMERIAH, sebuah syarikat pemaju terkemuka di Arab Saudi, secara khususnya terlibat di dalam aktiviti pembinaan am, pembangunan hartanah, infrastruktur, pembinaan hartanah bukan kediaman, projek utiliti serta pembuatan produk konkrit pratuang.

Menerusi MoU berkenaan, ALMQR berhasrat untuk melantik ALAMERIAH dan MGB sebagai perunding dalam pembangunan, pembinaan dan reka bentuk, pembuatan konkrit pratuang serta pengurusan projek dengan keupayaan kewangan dan teknikal yang kukuh bagi melaksanakan projek perintis di dalam bidang tersebut.

Syarikat itu juga merancang untuk meneroka peluang pelaburan di wilayah Al Madinah Al Munawwarah, Arab Saudi.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Majlis menandatangani MOU telah berlangsung di Riyadh, Arab Saudi, dengan Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Ir. Lim Hock San telah menandatangani bagi pihak MGB, manakala ALMQR diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Majed Mohammad Al Shalhoob, sementaea ALAMERIAH diwakili oleh Pengerusinya, Bandar Mohammed Al Amre.

Detik bersejarah tersebut turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berserta barisan menteri-menteri kabinet, termasuk Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan Pengarah Eksekutif serta Ketua Pegawai Eksekutif MGB, Datuk Richard Lim Lit Chek.

Sebelum berlangsungnya majlis menandatangani MoU tersebut, Ir. Hock San dan pengurusan MGB Berhad berpeluang untuk bertemu Perdana Menteri, semasa lawatan kerja dua hari beliau di Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Riyadh.

Hock San berkata, pihaknya berharap untuk meneroka sinergi yang bakal diperolehi menerusi kerjasama ini.

Jelas beliau, MGB akan menggunakan kepakaran serta pengalamannya di dalam menyediakan perkhidmatan holistik seperti reka bentuk dan pembinaan, pengurusan projek, kepakaran kejuruteraan, pembangunan infrastruktur dan pembangunan hartanah sekali gus mengintai peluang-peluang kolaborasi dengan pihak-pihak lain di bawah MOU ini.

"Kilang konkrit pratuang kami di Malaysia kini mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 100,000m3 setiap tahun, dan pengalaman MGB memberikan kami kelebihan dalam menjayakan kerjasama ini.

"Selain itu, MGB kini mengendalikan kilang konkrit pratuang di Jeddah dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 300,000m3 setahun.

"Kami teruja akan jalinan kerjasama bersama syarikat-syarikat terkemuka ini," katanya.

Ujar Hock San lagi, MoU itu juga menandakan pencapaian penting syarikat di dalam meneroka pasaran Timur Tengah. MGB berupaya untuk menawarkan pelbagai perkhidmatan bagi pasaran Timur Tengah, dan berbangga kerana diiktiraf sebagai pemain utama dalam penggunaan teknologi pratuang IBS bagi sektor pembangunan hartanah.

Beliau berkata, MGB turut menyasarkan untuk menerima kontrak baru di masa hadapan di samping meningkatkan buku pesanannya, sekali gus berusaha untuk mengukuhkan jenama MGB.

"Di Malaysia, MGB telah menyiapkan lebih daripada 8,000 unit rumah menggunakan Teknologi Konkrit Pratuang, dan dijangka mencecah 10,000 unit menjelang akhir tahun ini," katanya.