Mancini mahu cipta sejarah bersama Arab Saudi

Mancini
Mancini
A
A
A

BEKAS pengendali Itali, Roberto Mancini berhasrat untuk mencipta sejarah selepas dinamakan ketua jurulatih baharu pasukan bola sepak kebangsaan Arab Saudi oleh Persekutuan Bola sepak Arab Saudi (SAFF).

SAFF tidak memberikan butiran lanjut, namun media Itali melaporkan Mancini akan berlepas ke Riyadh untuk menandatangani kontrak sehingga 2027 bernilai 25 juta Euro setahun.

Dia akan membuat penampilan sulung di bangku simpanan pada 8 September menentang Costa Rica.

"Saya teruja untuk mengumumkan bahawa saya menyertai Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi sebagai Ketua Jurulatih Pasukan Kebangsaan.

"Saya gembira dan berbesar hati kerana telah dipilih untuk peranan berprestij ini, sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan atas semua kerja yang dilakukan selama tahun-tahun ini.

"Saya bertekad mencipta sejarah di Eropah, kini masanya untuk mencipta sejarah dengan Saudi," kata Mancini.

Bekas jurulatih, Napoli Luciano Spalletti menggantikan Mancini sebagai pengendali Itali selepas dia meletak jawatan pada 13 Ogos, menamatkan tempoh lima tahun mengendalikan pasukan kebangsaan di mana mereka memenangi Kejohanan Eropah tetapi terlepas kelayakan ke Piala Dunia.

Pengendali dari Perancis, Herve Renard sebelum ini meletakkan jawatan sebagai jurulatih Arab Saudi pada Mac.

Pasukan itu akan cuba memenangi kejuaraan Piala Asia keempat pada kejohanan benua yang akan diadakan di Qatar awal tahun depan.

Arab Saudi tersingkir dalam peringkat kumpulan Piala Dunia di Qatar tahun lalu tetapi hanya selepas melakukan satu kejutan terbesar dalam sejarah kejohanan apabila menewaskan Argentina dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan.

Negara itu sebelum ini banyak melabur dalam liga bola sepak teratasnya apabila Dana Pelaburan Awam Saudi (PIF) mengumumkan Projek Pelaburan dan Penswastaan ​​Kelab Sukan yang melibatkan juara liga Al-Ittihad, Al-Ahli, Al-Nassr dan Al-Hilal, dengan sejumlah pemain terkemuka berpindah ke Liga Pro Saudi