Piala Asia sasaran pertama Mancini bersama Arab Saudi

Mancini
Mancini
A
A
A

[DIKEMAS KINI] PENGENDALI baharu Arab Saudi, Roberto Mancini meletakkan matlamat utamanya untuk jagoan Asia itu kembali merangkul kejuaraan Piala Asia yang kali terakhir dimenangi 27 tahun lalu pada edisi Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pada edisi UAE 1996, Arab Saudi menewaskan tuan rumah 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Sheikh Zayed, Abu Dhabi.

Bekas pengendali Itali itu juga menggariskan aspirasinya untuk meningkatkan tahap pasukan Arab Saudi di Asia dan memperincikan rancangan jangka panjang dan pendeknya, sambil menambah akan menilai para pemain untuk melengkapkan objektif untuk memenangi kejohanan benua berkenaan.

"Sasaran kami adalah untuk memenangi Piala Asia selepas 27 tahun. Sasaran kami sebelum itu ialah mempunyai empat perlawanan persahabatan, kami mempunyai dua perlawanan kelayakan Piala Dunia dan selepas itu kem latihan selama 20 hari untuk persiapan Piala Asia.

"Saya bukan ahli silap mata, Arab Saudi mempunyai bakat yang luar biasa dan kami boleh mencapai matlamat melalui kerja berterusan.

"Kami mempunyai pemain yang bagus, jurulatih sebelum ini melakukan kerja yang hebat, dan dalam tempoh akan datang kami perlu menterjemahkan kata-kata menjadi realiti di atas padang," katanya semasa pembentangan kepada Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) di Riyadh.

Sebelum ini bekas pengendali Herve Renard mengetuai Arab Saudi di Piala Dunia Qatar, yang menyaksikan kejutan terbesar jagoan Asia itu dalam sejarah kejohanan apabila mengalahkan juara akhirnya Argentina dalam perlawanan pembukaan sebelum tersingkir di peringkat kumpulan.

Mancini juga bercakap tentang keadaan bola sepak Saudi, melakar persamaan dengan senario yang berlaku di negaranya: "Ramai pemain asing yang hebat datang ke Itali dan kami meningkat dengan banyak. Ia bagus untuk pemain Arab Saudi."

Arab Saudi sebelum ini banyak melabur dalam liga bola sepak teratasnya, dengan Dana Pelaburan Awam Saudi (PIF) mengumumkan Projek Pelaburan dan Penswastaan ​​Kelab Sukan, melibatkan juara liga Al-Ittihad, Al-Ahli, Al-Nassr dan Al-Hilal.

"Arab Saudi telah menjadi sebuah negara yang menarik untuk semua nama global" kata Presiden SAFF Yasser Al Misehal.

Artikel Berkaitan:

Ramai pemain terkemuka dunia menyahut cabaran baharu di Liga Pro Saudi selepas kelab Al-Nassr menandatangani Cristiano Ronaldo tahun lalu.

Karim Benzema dan Neymar adalah antara yang telah menyertai kelab Arab Saudi bersama-sama dengan bekas pengendali Aston Villa yang juga legenda Liverpool, Steven Gerrard.