Satu loji beroperasi semula: Air Selangor

Keratan Sinar Harian hari ini.
Keratan Sinar Harian hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang dihentikan tugas sejak pagi Sabtu lalu akibat pencemaran bau sudah mula beroperasi semula kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Bagaimanapun, sebuah lagi loji yang turut terjejas iaitu LRA Bukit Tampoi masih belum dapat beroperasi semula.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Halem Mat Som berkata, proses rawatan dan pengeluaran air terawat mengambil sedikit masa sebelum bekalan stabil untuk disalurkan kepada pengguna.

“Kita akan maklumkan perkembangan terkini berkaitan penyaluran air terawat kepada pengguna dari masa ke masa.

“Untuk memastikan tahap pencemaran bau tidak meningkat semula di air mentah Sungai Semenyih, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengambil langkah proaktif mengepam air dari Tasik Idaman ke Sungai Semenyih bagi tujuan penstabilan dan pencairan pencemaran bau,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Abdul Halem berkata, dengan langkah segera diambil, Air Selangor juga berharap pencemaran bau tidak akan berulang pada masa akan datang.

Menurutnya, pihaknya juga meminta pengguna terlibat sabar dengan keadaan tidak diingini itu sementara pihaknya mengambil langkah proaktif bagi menyelesaikan isu tersebut dengan kadar segera.

Katanya, sebagai usaha membantu pengguna terlibat dengan gangguan tidak berjadual itu, Air Selangor terus giat menyalurkan bekalan air kecemasan dengan pengagihan lori-lori tangki air dengan lebih kerap.

Artikel Berkaitan:

“Sebanyak 11 buah PKS (pusat khidmat setempat) terus beroperasi 24 jam di empat wilayah seperti dimaklumkan sebelum ini.

“Selain sebagai pusat untuk membantu pengguna setempat dan aduan, PKS juga berfungsi sebagai pusat penjadualan dan pengagihan lori-lori tangki. Oleh itu, pengguna disaran mengunjungi PKS untuk berurusan dengan pihak Air Selangor supaya aduan dan masalah boleh ditangani dengan segera,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan sebanyak 328,957 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air sejak Sabtu lalu ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Loji Rawatan Air Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah terpaksa dihenti tugas sepenuhnya ekoran insiden pencemaran terbabit.

Jumlah akaun pengguna terjejas bertambah kepada 336,930 apabila LRA Bukit Tampoi yang menerima sumber air mentah dari Sungai Semenyih turut dihentikan operasi sejak semalam.