Putrajaya tekad lebih padu Piala Agong 2024

Skuad ragbi Putrajaya naib juara Piala Agong 2023. Foto: KRM
Skuad ragbi Putrajaya naib juara Piala Agong 2023. Foto: KRM
A
A
A

PENGENDALI skuad ragbi Putrajaya, Mohd Hakimi Ismail mengakui bangga dengan komitmen tinggi dalam kalangan pemain-pemain pasukan itu ketika berdepan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam perlawanan akhir Piala Agong.

"Secara keseluruhan saya bangga dengan persembahan dan semangat kesukanan tinggi para yang pemain-pemain pertontonkan. Setiap saat mereka berjuang untuk berikan yang terbaik kepada pasukan.

"Bagi saya kekalahan kepada PDRM bukanlah bererti mereka lemah dan tidak buat yang terbaik untuk pasukan. Cuma rezeki edisi kali ini milik PDRM untuk memenangi kempen liga pada tahun ini. Tahniah kepada semua yang terlibat dalam pasukan ragbi PDRM," katanya yang dibantu Mohd Amir Syafiq kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Putrajaya sebelum itu muncul naib juara kejuaraan ragbi Piala Agong selepas penyandang juara tersebut tewas kepada PDRM, 22-29 dalam perlawanan akhir di Stadium Ragbi Perak, Ipoh.

Tambah Mohd Hakimi secara keseluruhan dia berpuas hati persembahan Putrajaya di pentas Piala Agong kali ini biarpun musim ini mereka hanya mempertaruhkan khidmat 70 peratus muka baharu.

Beliau berkata, pemain berjaya membuktikan bahawa tiada yang mustahil dengan kepercayaan antara satu sama lain dapat membawa Putrajaya ke peringkat akhir.

Namun paling penting tegasnya, dia bangga kerana keharmonian yang terjalin dalam pasukan amat berkesan dengan gandingan pemain senior yang dapat memupuk semangat kepada pemain muda.

"Pasukan kami juga terdiri daripada 80 peratus pemain yang bermain dari Liga Putrajaya, 70 peratus pemain baharu dan 70 peratus pemain bawah 25 tahun. Ya, agak sukar tetapi kami dapat atasi semuanya dengan lancar dan dipermudahkan semua urusan.

Artikel Berkaitan:

"Ini merupakan pengalaman sulung untuk saya dan Amir mengendalikan pasukan sebagai jurulatih, bersyukur dengan keberkesanan dapat membentuk pasukan ini dengan jayanya. Walaupun banyak rintangan yang lalui, namun semuanya berjalan dengan lancar.

"Pencapaian yang telah kami dapat amat memuaskan dan ini adalah anugerah besar rahmat dari ALLAH SWT kepada pasukan kami. Setelah berakhir kempen ini, ia amat memberi kesan kepada semua yang terlibat. Kesedihan yang terpapar dari riak wajah semua ahli keluarga besar pasukan ragbi Putrajaya menunjukkan aura positif bahawa mereka memang amat menyayangi pasukan ini. Kerana itulah saya amat berbangga dapat berada dalam pasukan ini," katanya.

Mengenai persiapan pasukan bagi saingan tahun depan, Mohd Hakimi berkata, persiapan perlu diawalkan bagi memastikan semua taktikal dikuasai dengan sempurna pada setiap pemain Putrajaya.

"Selain itu juga mengelakkan hubungan mesra yang terjalin antara satu sama lain tidak pudar. Perhatian terhadap setiap individu perlu diteruskan seperti yang telah dilaksanakan, agar mereka dapat merasa dihargai oleh pasukan.

"Kekalkan pemain yang sedia ada, jika terdapat penambahan mungkin hanya menggantikan pemain senior.

"Saya amat yakin setiap pemain yang bermain dengan Putrajaya tidak sabar memberi saingan hebat pada kempen Piala Agong tahun depan," katanya