Kemajuan pembangunan sistem Padu secara keseluruhan 72 peratus

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kemajuan pembangunan Sistem Pengkalan Data Utama (Padu) secara keseluruhannya adalah pada 72 peratus ketika ini dan pengujian sistem akan dilakukan dalam tempoh dua bulan, iaitu November sehingga Disember 2023, kata Kementerian Ekonomi.

Kementerian tersebut berkata, usai pelancarannya yang dijadualkan pada Januari 2024 sehingga Mac 2024 depan, sistem Padu akan dibuka kepada pengguna bagi membolehkan pengemaskinian maklumat individu dilakukan dalam sistem tersebut dan maklumat ini akan disahkan bagi memastikan kesahihannya.

"Sistem Padu sedang dibangunkan secara dalaman menggunakan kepakaran penjawat awam sedia ada tanpa melibatkan lantikan daripada perunding luar dan diterajui oleh Kementerian Ekonomi.

"Pembangunan Padu turut melibatkan beberapa agensi utama seperti Jabatan Perangkaan Malaysia dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia yang menyediakan kepakaran teknikal dalam pembangunan sistem ICT dan pendigitalan sektor awam,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Rabu.

Menurutnya, Kementerian Kewangan turut terlibat dalam meneliti keperluan peruntukan bagi pembangunan Padu.

Pembangunan sistem Padu dimulakan pada Jun 2023 dan berdepan dengan beberapa halangan termasuk kekangan dalam perkongsian data, sistem dan pangkalan data sedia ada di kementerian dan agensi yang berada dalam keadaan bersendiri, keselamatan sistem serta perlindungan data peribadi. - Bernama

Artikel Berkaitan: