Kerjasama UMNO: Pas mahu pandang ke depan bersama PN - Idris Ahmad

Idris ketika sidang akhbar Muktamar Tahunan Pas Ke-69 di Shah Alam pada Ahad.
Idris ketika sidang akhbar Muktamar Tahunan Pas Ke-69 di Shah Alam pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Muktamar Pas yang langsung tidak menyentuh mengenai hubungan kerjasama Muafakat Nasional (MN) antara UMNO dan Pas sekali gus menunjukkan bahawa parti kini memandang ke hadapan bersama gabungan baharu Perikatan Nasional (PN).

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Idris Ahmad berkata, setakat ini tiada perbincangan dalam kalangan kepimpinan untuk menjalin kerjasama dengan UMNO.

Sebaliknya jelas beliau, fokus kini hanya untuk memperkukuh kerjasama dengan parti rakan dalam PN.

"Sekarang ini kita 'move forward' bersama PN dengan penyatuan ummah yang lebih besar.

“Kita perkukuhkan parti kita, kalau nak bersama (kerjasama dengan UMNO), itu kita bincang kemudian," katanya ketika sidang akhbar Muktamar Tahunan Pas Ke-69 di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Idris menegaskan tiada layanan berbeza diberikan Pas kepada masyarakat bukan Melayu ketika parti di bawah Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan zaman pimpinan Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai mursyidul am.

Katanya, perbandingan yang ditimbulkan adalah usaha pihak tertentu khususnya DAP yang mahu menunjukkan Pas sebuah parti Islam yang tidak adil dan ekstrem.

“Tiada (layanan) berbeza, pendekatan sama jugalah dimainkan, pada zaman Tuan Guru Nik Aziz. Kita bercakap soal Islam for all, itu dah lama dan terbukti.

Artikel Berkaitan:

“Ketika Haji Hadi menjadi Menteri Besar Terengganu pada 1999, dia juga beri keadilan kepada bukan Melayu yang berada di Terengganu.

"Daripada segi demografi penduduk bukan Islam di Terengganu lebih kecil daripada Kelantan, tapi kita beri keadilan kepada semua.

“Kita juga tahu sejak mutakhir ini orang bukan Melayu pun tidak beri sokongan kepada kita, namun kita tetap berkhidmat dan sebagai pemimpin dalam kerajaan, kita tetap beri keadilan, yang miskin kita bantu walaupun mereka tidak sokong kita,” katanya.