Eksport nadir bumi ke China tak langgar peraturan - Saarani

Saarani Mohamad
Saarani Mohamad
A
A
A

IPOH - Pengeksportan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) oleh kerajaan Perak ke China tidak melanggar peraturan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ketika tindakan tersebut dilakukan, tiada sebarang garis panduan dikeluarkan bagi melarang eksport mineral itu keluar negara.

Menurutnya, mineral tersebut dieksport ke China kerana mahu melihat potensi dan hasil yang diperoleh menerusi perlombongan tersebut memandangkan hanya Perak dibenar melaksanakan projek perintis di Hulu Perak itu.

"Jadi pada waktu itu, kita telah berjaya untuk mengeluarkan hasil NR-REE ini mengikut SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan dan kita jual dia untuk melihat harga pasarannya berapa sebab nak menentukan sama ada berbaloi atau tidak kita mengeluarkan hasil bumi ini.

"Kita nak tahu itu, kita kena jual. Di Malaysia, belum ada lagi tempat pemprosesan itu.

"Mengapa Perak jual NR-REE ke China, sebab masa itu belum ada lagi arahan tak boleh jual," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Program Hari Rendah Karbon Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Persiaran Dewan Bandaraya, Jalan Sultan Abdul Jalil di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mempersoalkan tindakan kerajaan Perak bertindak memproses NR-REE ke China.

Sementara itu, Saarani berkata, pihaknya telah mengadakan mesyuarat bersama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad bagi meminta Perak diberi moratorium bagi memproses mineral tersebut di luar negara sehingga kementerian berkenaan mempunyai keputusan mengenai peraturan berkaitan perkara tersebut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sehingga Oktober hasil royalti yang diterima melalui penjualan tersebut sebanyak RM16 juta manakala dianggarkan sehingga hujung tahun boleh mencecah RM21 juta.

"Jadi, saya ingat YB Tuan Ibrahim tidak perlu rungsinglah bab itu. Kita juga sudah melihat kepada kawasan yang telah diusahakan di Nanning, China bagaimana mereka memulihkan kembali kawasan yang telah di lombong itu ditanam dengan pokok buah-buahan, jadi kawasan subur.

"Hasil lawatan kita pergi tengok dan saya rasa berbaloi untuk kita mengusahakannya di negeri Perak," katanya.