UMT setanding universiti terkemuka negara - Sultanah Nur Zahirah

Sultanah Nur Zahirah menyempurnakan penyerahan skrol kepada graduan sempena istiadat Majlis Konvokesyen Ke-21 UMT Tahun 2023 (Sidang Pertama), di Kuala Nerus pada Ahad.
Sultanah Nur Zahirah menyempurnakan penyerahan skrol kepada graduan sempena istiadat Majlis Konvokesyen Ke-21 UMT Tahun 2023 (Sidang Pertama), di Kuala Nerus pada Ahad.
A
A
A

KUALA NERUS - Pencapaian di peringkat nasional dan antarabangsa yang dicapai Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sejak ditubuhkan meletakkan ia setanding dengan universiti terkemuka lain di negara ini.

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bertitah, sebagai Canselor, baginda berbangga dengan pencapaian ditempa UMT yang berjaya meraih pencapaian 5 Bintang dalam Penarafan Malaysia Research Assessment (MyRA) pada 2022.

"Pencapaian ini telah membuktikan, walaupun pada usia yang masih muda UMT sudah setanding dengan universiti-universiti terkemuka di negara ini.

"Beta juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada UMT yang telah dipilih sebagai hos penempatan Penyandang Kursi Sains Antartika Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dan telah menerima peruntukan sebanyak RM500,000 sebagai Dana Pemula Aktiviti Kursi ini.

"Beta berharap ini akan menyemarakkan lagi kecemerlangan akademik dalam bidang Sains Antartika di UMT dan memberikan impak yang membanggakan kepada penyelidikan Antartika Malaysia di peringkat antarabangsa," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada istiadat Majlis Konvokesyen Ke-21 UMT Tahun 2023 (Sidang Pertama), di sini, pada Ahad.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan untuk berangkat bagi meraikan graduan pada majlis berkenaan.

Dalam pada itu, Sultanah Nur Zahirah turut mengingatkan graduan agar sentiasa menjaga citra dan nama baik universiti.

Artikel Berkaitan:

Titah baginda, sebagai duta kecil dalam masyarakat, graduan perlu menunjukkan adab dalam kehidupan bermasyarakat serta hidup dengan pekerti yang mulia sebagaimana filsafat seni motif flora ukiran Melayu.

Di samping itu, baginda berharap graduan dilahirkan UMT dapat memenuhi keperluan tenaga kerja di industri, bukan hanya di peringkat tempatan malah di peringkat global.

"Pikul lah amanah dan tanggungjawab dalam memberi khidmat bakti kepada negara, bangsa dan agama," titah baginda.

Pada majlis tersebut, Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti, Fakulti Sains dan Sekitaran Marin kepada Prof Emeritus Datuk Dr Abdul Latiff Mohamad.

Baginda turut berkenan menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan, Fakulti Pengajian Maritim kepada Datuk Seri (Dr) Michael Tio.

Seramai 2,388 graduan terdiri daripada 196 graduan pasca siswazah iaitu 46 graduan PhD dan 150 graduan sarjana di samping seramai 2,192 graduan pra siswazah terdiri daripada 2,081 graduan sarjana muda dan selebihnya 111 graduan diploma diraikan pada majlis konvokesyen UMT kali ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!