Usaha Tun M bawa pelabur ke SG4 berpotensi majukan ekonomi

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

USAHA bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikhabarkan berjaya membawa masuk pelabur tempatan dan luar negara ke dalam kerangka ‘State-Government 4’ (SG4) melibatkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis dilihat mampu menyumbang kepada kemajuan ekonomi di negeri berkenaan.

Penglibatannya sebagai penasihat kepada empat kerajaan negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN) itu jelas memberi nilai tambah memandangkan beliau seorang yang berpengalaman luas membawa pelabur luar ke Malaysia ketika menjadi Perdana Menteri suatu ketika dahulu.

Menurut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, Dr Mahathir telah melakukan banyak penglibatan dan sesi libat urus untuk membawa masuk pelaburan ke negeri yang terlibat.

Beliau berkata, pihaknya sudah dihubungi pelabur dari China dan difahamkan selepas ini bakal ada perkhabaran dari negara Timur Tengah pula.

Tambahnya, kerjasama empat negeri itu memfokuskan lima kluster iaitu infrastruktur dan logistik; perdagangan, pelaburan dan perniagaan; pertanian dan sekuriti makanan; perundangan dan modal insan serta sumber dan pendapatan baharu.

Bagaimanapun, ujarnya, jalinan hubungan antara SG4 dengan Kerajaan Persekutuan masih berterusan kerana tidak mahu menyaingi sesiapa, sebaliknya ingin bekerjasama dengan semua pihak seperti yang termaktub dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Dari kiri: Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Ahmad Samsuri; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Dari kiri: Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Ahmad Samsuri; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Sebelum ini, seramai empat orang Menteri Besar daripada PN mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir di kediamannya pada September lalu.

Artikel Berkaitan:

Selain Ahmad Samsuri, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli turut hadir sama, ditemani Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu, Khairuddin Abu Hassan memaklumkan, pertemuan itu bagi membincangkan pelbagai topik khususnya mengenai perancangan pembangunan ekonomi negeri di bawah pemerintahan Pas.

Dr Mahathir ketika itu berpandangan, negeri-negeri tersebut mempunyai pelbagai potensi untuk dibangunkan setaraf kemajuan negeri di sebelah pantai barat Semenanjung Malaysia.

Maka benarlah, pertemuan yang tidak disangka-sangka itu bertujuan untuk membincangkan hala tuju pembangunan negeri yang sering dianggap mundur atau terkebelakang oleh masyarakat.

Dengan memilih Dr Mahathir sebagai penasihat bagi pembangunan ekonomi SG4, diharapkan inisiatif dan idea yang dilontarkan memberi hasil positif serta lumayan untuk membantu meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri berkenaan.

Apa pun, kemasukan pelabur tempatan dan luar negara ke SG4 bakal memberi sinar baharu buat rakyat terutamanya dari sudut peluang pekerjaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!