SG4 bukan untuk berpolitik tapi bangunkan negeri - Razali

Razali
Razali
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Empat kerajaan negeri ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN) atau 'State-Goverment 4' (SG4) bukan untuk berpolitik tetapi ia bertujuan membangunkan empat negeri berkenaan yang sentiasa dianggap mundur oleh kerajaan Persekutuan.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, SG4 ditubuhkan bagi menyatupadukan empat negeri selain pembentukan gabungan itu demi kebaikan dan kepentingan mengetahui cara melaksanakan projek di negeri tersebut.

"SG4 bertujuan meningkatkan tahap berganda ekonomi, pelaburan dan sosioekonomi rakyat berkaitan empat negeri diterajui Perikatan Nasional (PN).

"Ini merupakan langkah pembaharuan yang berani dan luar biasa. Satu inovasi gandaan ekonomi, pelaburan dan sosioekonomi bagi empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis yang mempunyai tarikan dan keunikan tersendiri sebagai asas kekuatannya," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pada 14 September lepas, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan empat negeri bawah pentadbiran PN bersetuju mewujudkan kerjasama dikenali SG4 bersama Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahmad Samsuri berkata, Mahathir akan memainkan peranan secara tidak rasmi terutama dalam menghubungkan SG4 bersama pelabur luar seperti Jepun dan Korea.

Mengulas lanjut, Razali berkata, SG4 dijangka sebagai titik permulaan mengubah persepsi dangkal di mana negeri yang ditadbir 100 peratus Melayu adalah mundur.

"SG4 adalah satu gerakan murni di bawah PN di samping mengambil kesempatan mencedok pemikiran unggul Tun Dr Mahathir Mohamad dan kumpulan pemikirnya dari dalam negara dan luar negara.

Artikel Berkaitan:

"Hanya yang ikhlas sahaja pasti boleh meneruskan perjuangan cekal," jelasnya.