Kekosongan jawatan, Hamzah akan panggil Bersatu Gerik mesyuarat

Hamzah ketika bercakap kepada pemberita pada Sabtu.
Hamzah ketika bercakap kepada pemberita pada Sabtu.
A
A
A

LARUT - Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Gerik akan dipanggil bagi membincangkan kekosongan jawatan ketua dan setiausaha bahagian itu dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu berikutan peletakan jawatan yang dibuat kedua-dua pemegang jawatan berkenaan bulan ini.

Sambil menyifatkan bukan satu masalah besar, beliau berkata, isu berkenaan akan dapat diselesaikan menerusi perbincangan dan lantikan semula.

"Ini bukan satu isu yang besar hanya melibatkan teknikal sahaja, mereka letak jawatan tetapi masih lagi ahli (Bersatu).

"Cuma saya akan panggil semula jawatankuasa untuk mesyuarat bagi tujuan lantikan ketua bahagian dan seterusnya boleh melantik setiausaha, itu sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Larut di Dewan Semai Bakti Felda Ijok dekat Selama pada Sabtu.

Hamzah (kanan) selepas merasmikan Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Larut di Dewan Semai Bakti Felda Ijok dekat Selama pada Sabtu.
Hamzah (kanan) selepas merasmikan Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Larut di Dewan Semai Bakti Felda Ijok dekat Selama pada Sabtu.

Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Gerik, Mohamad Rizal Abd Razak meletak jawatan pada 1 Oktober lalu disusuli Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob yang meletak jawatan Setiausaha Bahagian.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Kuala Kangsar yang mewakili Bersatu, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid mengisytiharkan sokongan terhadap kerajaan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Larut itu meminta rakyat terutama ahli PN tidak terpengaruh dengan dakwaan berlakunya krisis antara Bersatu dengan Pas.

Katanya, perkara itu sengaja diwar-warkan bagi menimbulkan rasa gundah dan takut terhadap penyokong PN.

"Semua itu tidak betul, kami pemimpin-pemimpin tertinggi Pas dan Bersatu selalu bermesyuarat, tiada masalah apa pun.

"Jadi tak perlu nak takutlah, kita masih lagi punya setiakawan begitu kuat antara kedua-dua parti ini dan juga parti komponen lain," katanya.