124 kawasan panas risiko banjir di Melaka

JBPM Melaka menguji keupayaan bot penyelamat sebagai persediaan menghadapi musim banjir di Jeti Awam Marina, Kota Laksamana di sini, pada Sabtu.
JBPM Melaka menguji keupayaan bot penyelamat sebagai persediaan menghadapi musim banjir di Jeti Awam Marina, Kota Laksamana di sini, pada Sabtu.
A
A
A

MELAKA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka bersiap siaga di 124 lokasi berisiko banjir dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November depan.

Penolong Pengarah, Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat negeri, Penguasa Kanan Bomba II, Muhammad Izwan Arief Mat Nor berkata, antara lokasi yang dikenal pasti termasuk Kampung Sungai Putat, Tanjung Bidara, Kampung Tehel, Pantai Siring dan Kampung Gadek.

"Lokasi dikenal pasti menerusi hasil pemantauan dan kajian lapangan bagi menangani sebarang kemungkinan bencana susulan peralihan memasuki fasa MTL hingga Mac depan," katanya.

Anggota bomba memeriksa enjin bot sebagai persediaan Bulan Kesiapsiagaan Bencana Banjir MTL di Jeti Awam Marina, Kota Laksamana, di sini pada Sabtu.
Anggota bomba memeriksa enjin bot sebagai persediaan Bulan Kesiapsiagaan Bencana Banjir MTL di Jeti Awam Marina, Kota Laksamana, di sini pada Sabtu.

Muhammad Izwan Arief berkata demikian selepas program pengujian bot dan peralatan menyelamat di air sebagai persediaan Bulan Kesiapsiagaan Bencana Banjir Monsun Timur Laut di Jeti Awam Marina, Kota Laksamana, di sini pada Sabtu.

Menurutnya, ujian bot ini dilakukan serentak di tiga daerah iaitu Pantai Siring di daerah Jasin, Jeti Marina di daerah Melaka Tengah dan Pantai Pengkalan Balak bagi daerah Alor Gajah.

"Seramai 59 anggota bomba daripada 11 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) seluruh negeri terlibat pada program itu bagi menguji semua bot penyelamat milik kita.

"Latihan ini juga memastikan kepatuhan anggota bomba dalam penggunaan peralatan kecemasan termasuk penggunaan jaket keselamatan ketika operasi menyelamat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai sentiasa peka dan berwaspada semasa melakukan aktiviti di air susulan perubahan monsun.

"Ini penting bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini sama ada laut mahu pun sungai.

“Sikap sambil lewa dan memandang ringan terhadap perubahan cuaca adalah antara punca berlakunya kemalangan di kawasan tersebut," katanya.