PRK Kemaman: Che Alias dalam senarai calon PN

Tuan Ibrahim (kanan) bercakap pada Sidang Akhbar Muktamar Tahunan Pas Ke-69, di Shah Alam pada Sabtu.
Tuan Ibrahim (kanan) bercakap pada Sidang Akhbar Muktamar Tahunan Pas Ke-69, di Shah Alam pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid termasuk antara senarai calon untuk sekali lagi bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, 2 Disember ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia susulan mahkamah membuat keputusan bahawa Che Alias layak bertanding.

Namun menurutnya, Pas belum memuktamadkan sebarang keputusan kerana semua senarai calon perlu melalui proses tapisan Majlis Syura parti itu.

“Kita masih lagi teliti calon-calon, dia (Che Alias) salah seorang di antara tersenarai sebab mahkamah tidak menggugurkan nama beliau untuk bertanding.

“Pas Kawasan akan hantar nama kepada Pas Pusat, Pas pusat akan hantar untuk ditapis oleh Majlis Syura, biasanya kawasan akan hantar minimum dua nama atau tiga nama.

“Kita akan minta Majlis Syura periksa dahulu kelayakan ketiga-ketiga calon ini, sekiranya ketiga-ketiga layak, Pas pusat akan bermesyuarat menentukan siapa mudah menang,” katanya pada Sidang Akhbar Muktamar Tahunan Pas Ke-69, di sini pada Sabtu.

Pada Jumaat, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menepis khabar angin bahawa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bakal dicalonkan mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi PRK Parlimen Kemaman.

Sebelum ini Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kemaman terbatal dan tidak sah, selepas menerima dakwaan berhubung sogokan semasa tempoh berkempen untuk meraih undi bagi calon PN.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU lalu, Che Alias menang bergaya dengan majoriti 27,179 undi, selepas calonnya meraih 65,714 undi untuk menewaskan Barisan Nasional yang meraih 38,535 undi, Pakatan Harapan (8,340), dan Pejuang (506).