PRK Kemaman: Ahmad Said dilantik Pengarah Jentera BN

Ahmad Said menghadiri Mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato' Onn Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto Bernama
Ahmad Said menghadiri Mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato' Onn Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dilantik sebagai Pengarah Jentera Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang akan diadakan pada Disember ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelantikan bekas Menteri Besar Terengganu itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr AHmad Zahid Hamidi, malam ini.

"Bagaimanapun, nama calon yang bakal mewakili BN akan diumumkan kemudian," katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan di Menara Dato Onn, di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kemaman, Terengganu pada 2 Disember ini manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 November dan 28 November.

PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Asyraf turut mengumumkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengetuai Kolokium Pra-Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) dengan menggembleng semua peringkat kepimpinan UMNO di seluruh negara.

Katanya, penganjuran kolokium berkenaan bertujuan mendukung penganjuran KEB pada Januari tahun depan yang merupakan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan.

Mengenai, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis yang didakwa mensabotaj parti dengan menghadiri program parti pembangkang di Johor baru-baru ini, Asyraf berkata ia tidak dibincangkan pada mesyuarat malam ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Asyraf menerusi satu kenyataan memaklumkan UMNO akan mengaktifkan semula Tabung Muafakat Palestin dengan diurus oleh bendahari parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk dihantar secara terus ke Gaza sebagai tanda komitmen dan solidariti bersama rakyat Palestin. - Bernama