[VIDEO] PRK Kemaman 2 Disember depan

A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 2 Disember depan susulan keputusan mahkamah membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon pula pada 18 November, manakala hari pengundian awal ditetapkan pada 28 November dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

"Tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 18 November sehingga jam 11.59 malam 1 Disember," katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas PRK Kemaman di sini, pada Selasa.

Menurutnya, urusan permohonan semua kategori undi pos bagi PRK Kemaman telah dibuka.

"Tarikh tutup bagi kategori 1A adalah 15 November dan 1B pula 26 Oktober.

"Kategori 1C ditutup pada 30 Oktober," katanya.

Hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil Kemaman ditetapkan pada 2 Disember depan.
Hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil Kemaman ditetapkan pada 2 Disember depan.

Beliau berkata, PRK Kemaman yang menelan belanja RM3.5 juta akan melibatkan 2,102 petugas dan 49 pusat mengundi yang mengandungi 244 saluran.

Artikel Berkaitan:

"Parlimen ini mempunyai 141,790 orang pemilih berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Ogos yang dikemas kini sehingga 3 Oktober," ujar beliau.

Jelas Abdul Ghani, jumlah itu merangkumi 141,382 pengundi biasa, 387 anggota polis, sembilan tentera dan pasangan serta 12 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Tambahnya, SPR melantik seorang pegawai pengurus dan tujuh penolong pegawai bagi menjalankan proses pilihan raya tersebut.

"Sebanyak lima pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya yang dianggotai oleh polis, pihak berkuasa tempatan dan calon bertanding akan ditubuhkan," katanya.

Pada 26 September lalu, Mahkamah Pilihan Raya membenarkan petisyen pilihan raya yang dikemukakan pengundi bagi Parlimen Kemaman, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340.