Laksana pelan pencegahan pencemaran, pembersihan sungai

Wan Abdul Latiff (kiri) melihat maklumat berhubung pencemaran yang dipamerkan sempena Hari Alam Sekitar Negara 2023 di Hutan Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Mutiara Rini pada Sabtu.
Wan Abdul Latiff (kiri) melihat maklumat berhubung pencemaran yang dipamerkan sempena Hari Alam Sekitar Negara 2023 di Hutan Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Mutiara Rini pada Sabtu.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Satu pelan tindakan berhubung langkah-langkah pencegahan pencemaran dan pembersihan sungai perlu diwujudkan di setiap negeri dalam usaha menangani pencemaran sungai di seluruh negara.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata, berdasarkan laporan Kualiti Alam Sekeliling 2022, sebanyak 29 sungai di seluruh negara diklasifikasikan sebagai kelas tiga (sederhana tercemar), selain kelas empat dan lima (tercemar).

“Saya kira perlu ada satu pelan tindakan pencegahan pencemaran dan pembersihan sungai. Ia perlu diwujudkan di setiap negeri bagi menggariskan tindakan-tindakan yang perlu diambil oleh agensi-agensi yang berkaitan mengikut bidang tugas dan bidang kuasa masing-masing.

“Saya juga mengesyorkan agar pelan tindakan ini diselaraskan oleh pihak jawatankuasa alam sekitar negeri dan ia dipengerusikan oleh Exco alam sekitar di negeri tersebut.

“Bagi kita, ini merupakan langkah terbaik bagi menangani isu pencemaran sungai kerana tindakan akan dapat dilaksanakan secara bersepadu,” katanya kepada pemberita.

Wan Abdul Latiff berkata demikian pada sidang media sempena Hari Alam Sekitar Negara 2023 yang disempurnakan perasmiannya oleh Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah di Hutan Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Mutiara Rini di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sementara itu, Wan Abdul Latiff berkata, semua pihak disaran agar memantau secara rapi kawasan-kawasan yang mudah berlakunya kebakaran terutama melibatkan pembakaran secara terbuka.

Artikel Berkaitan:

“Bila cuaca panas dan kering memang kita jangka akan berlakunya kes-kes melibatkan pembakaran terbuka terutamanya di kawasan-kawasan yang mudah terbakar.

“Ini termasuklah kawasan tanah gambut dan yang kedua adalah tempat pelupusan sampah kerana kedua-dua kawasan ini merupakan antara kawasan yang mudah terbakar, apatah lagi dalam cuaca panas dan kering seperti ini.

“Oleh itu, sudah tentulah di peringkat Jabatan Alam Sekitar kita akan meneruskan pemantauan. Kita akan mempertingkatkan pemantauan ke kawasan dikatakan sebagai hotspot atau kawasan yang mudah terbakar seperti yang disebutkan tadi,” katanya.