Gomez kantoi doping digantung dua tahun

Gomez dikesan mengambil bahan terlarang ketika mewakili Sevilla tahun lalu. - Foto Agensi
Gomez dikesan mengambil bahan terlarang ketika mewakili Sevilla tahun lalu. - Foto Agensi
A
A
A

PAPU Gomez yang beraksi bersama Argentina menjuarai Piala Dunia 2022 di Qatar akhir tahun lalu digantung dua tahun oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas diuji positif menggunakan bahan terlarang.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh kelabnya, Monza yang menyebut bahan terlarang jenis terbutaline dikesan berada dalam sampel biologi pemain tengah itu ketika dia mewakili Sevilla tahun lalu.

Pemain berusia 35 tahun itu mendakwa berdepan masalah kesihatan yang menyebabkan dia mengambil ubat sirap anaknya tanpa merujuk doktor kelab.

“FIFA telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Anti-Doping Sepanyol mengenai keputusan awal berkenaan dakwaan yang dikenakan terhadap Alejandro Dario Gomez.

“Hukuman itu melibatkan penggantungan selama dua tahun daripada sebarang aktiviti sukan.

“Ia (terbutaline) adalah sejenis ubat yang digunakan untuk meredakan masalah bronkospasma yang diambil pada 2022 ketika pemain itu didaftarkan bersama Sevilla FC," kata Monza menerusi satu kenyataan pada malam Jumaat.

Gomez yang beraksi ketika Argentina menentang Arab Saudi dan Australia di Piala Dunia akhir tahun lalu menyaksikan kontraknya ditamatkan Sevilla pada September selepas dua tahun bersama kelab itu.

Tiga minggu lalu dia menandatangani kontrak dengan kelab Itali, Monza.

Artikel Berkaitan: