All Blacks gah ke final Piala Dunia Ragbi

Jordan (kanan) memacu kemenangan New Zealand ketika menewaskan Argentina 44-6 dalam aksi separuh akhir Piala Dunia Ragbi di Perancis pada Sabtu. - Foto EPA
Jordan (kanan) memacu kemenangan New Zealand ketika menewaskan Argentina 44-6 dalam aksi separuh akhir Piala Dunia Ragbi di Perancis pada Sabtu. - Foto EPA
A
A
A

JUARA tiga kali, New Zealand berada dalam kelas tersendiri apabila membelasah Argentina 44-6 untuk menempah slot final Piala Dunia Ragbi di Perancis awal pagi Sabtu.

Dalam aksi di Stade de France itu penyerang sensasi, Will Jordan memacu kemenangan All Blacks apabila menyempurnakan try hatrik untuk membuat perhitungan dengan pemenang separuh akhir kedua antara England dan juara bertahan Afrika Selatan yang akan beraksi awal pagi Ahad.

Pemain terbaik perlawanan Jordie Barrett gembira dengan kemenangan itu, namun perjuangan All Blacks belum selesai.

"Ini kemenangan yang manis. Ia satu kejayaan baharu kelompok pemain ini.

"Saya bangga dengan kumpulan pemain ini. Ia belum berakhir.

"Kami akan berdepan satu perlawanan yang amat sukar tidak kira siapa pun yang akan kami temui pada final minggu depan," katanya.

Dalam perlawanan tersebut All Blacks mengatasi Los Pumas dengan tujuh try berbanding kosong, mengabungkan beberapa aksi bertahan yang mantap pada awal permainan dengan serangan padu.

Biarpun Emiliano Boffelli meletakkan Argentina di depan menerusi penalti pada minit kelima, namun New Zealand bangkit menguasai perlawanan sekali gus menutup peluang lawan untuk bernyawa.

Artikel Berkaitan:

Di sebalik keperitan kekalahan dalam cuaca hujan itu, Argentina berjaya mengelak daripada tewas dengan jurang terbesar dalam separuh akhir Piala Dunia apabila All Blacks membelasah Wales 49-6 pada tahun 1987.

Jurulatih All Blacks, Ian Foster bangga dengan anak-anak buahnya yang merealisasikan impian untuk All Blacks berada di pentas akhir.

"Kami hadir ke sini untuk layak ke final dan kemudian mahu memenanginya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!