BSMM mahu jalin kerjasama dengan Karangkraf

Delegasi BSMM yang mengadakan kunjungan hormat ke Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Jumaat. Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Delegasi BSMM yang mengadakan kunjungan hormat ke Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Jumaat. Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) berhasrat menjalinkan hubungan dan kerjasama strategik bersama akhbar Sinar Harian setelah mengadakan kunjungan hormat ke Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Jumaat.

Setiausaha Agungnya, Hakim Hamzah berkata, pihaknya tertarik untuk bekerjasama dari segi mempromosikan pemberian bantuan kemanusiaan tidak kira dalam atau luar negara.

Menurutnya, kolaborasi bersama media dapat membantu memperkenalkan BSMM tentang aktiviti dan program yang dijalankan dengan lebih meluas kepada masyarakat.

"Kami harap ini adalah langkah pertama untuk mengenali Kumpulan Karangkraf dan Sinar Harian.

"Ia boleh menjadi satu titik tolak untuk kami bekerjasama dengan media dalam pelbagai bidang," katanya.

Antara delegasi kehormat BSMM yang hadir ialah Timbalan Pengerusi Kebangsaan, Dr S Selva Jothi K Selvadurai; Naib Pengerusi Kebangsaan, Datuk Sri Suhaimi Yacob; Timbalan Setiausaha Agung, Datuk Danial Iskandar; Pengerusi Komunikasi dan IT, Syamil Fahim Mohamed Fahim serta Pengerusi Pembangunan Organisasi, Fathul Rahman Mohamad Amin.

Hakim Hamzah
Hakim Hamzah

Hakim turut memaklumkan, pihaknya berkesempatan untuk mengenali identiti dan aktiviti yang dijalankan oleh Kumpulan Karangkraf dengan lebih dekat setelah mendengar sesi perkongsian daripada pihak berkenaan terutamanya program bantuan kemanusiaan.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, BSMM sedang giat mengumpul dana untuk memberikan bantuan kepada rakyat di Palestin yang terkesan dengan krisis baru-baru ini.

Ujarnya lagi, pertemuan selama dua jam itu membuahkan beberapa idea seperti cadangan untuk mengadakan perkongsian di sekolah rendah dan menengah tentang peranan BSMM serta malam misi kemanusiaan bersama Karangkraf sebagai usaha mengumpul dana bantuan dengan kerjasama media.

"Ini membuka mata kami tentang perkongsian yang dibincangkan bersama Karangkraf dan pastinya akan ada peluang untuk berkolaborasi bersama mereka," jelas beliau.