PM terima kunjungan hormat Menteri Pertahanan India

Anwar (kanan) menerima kunjungan hormat Menteri Pertahanan India Rajnath Singh (tengah) di Perdana Putra pada Isnin. - Foto Bernama
Anwar (kanan) menerima kunjungan hormat Menteri Pertahanan India Rajnath Singh (tengah) di Perdana Putra pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin menerima kunjungan hormat daripada Menteri Pertahanan India Rajnath Singh, yang mengadakan lawatan ke Malaysia buat julung kalinya dalam usaha meningkatkan kerjasama pertahanan dua hala.

Dalam pertemuan di Perdana Putra di sini, Anwar dan Rajnath saling bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama. Turut hadir ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Perdana Menteri turut mengambil maklum mengenai pertukaran surat (EOL) bagi meminda memorandum persefahaman (MoU) kerjasama pertahanan antara Malaysia dan India yang disempurnakan oleh kedua-dua menteri terlibat.

Kerjasama itu termasuk meneroka inisiatif baharu dalam bidang pertahanan bagi mengukuhkan lagi hubungan.

Terdahulu, Rajnath yang memulakan lawatan kerja ke Malaysia semalam, mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya Mohamad di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur.

Rajnath dilantik sebagai Menteri Pertahanan India pada Mei 2019.- Bernama