Sindiket pelaburan serendah RM100, untung lipat ganda tumpas

Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf
Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan menerusi beberapa serbuan dilakukan di sekitar Perak pada Selasa dan Rabu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, seramai lima individu warga tempatan terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 28 hingga 38 tahun telah ditahan dalam serbuan tersebut.

Beliau berkata, kesemua direman selama tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Turut dirampas 17 buah telefon bimbit, sebuah komputer riba, dua set modem, lapan buah buku catatan, 24 keping kad ATM, satu set dokumen, satu set penyata bank serta sebuah beg yang dipercayai digunakan untuk melaksanakan aktiviti penipuan pelaburan itu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, berdasarkan risikan dibuat, sindiket pelaburan ini mula beroperasi sekitar pertengahan tahun ini dengan menggunakan nama AGNC Capital Services.

"Pelbagai platform pelaburan media sosial digunakan untuk mengiklankan skim pelaburan tersebut yang menawarkan pelaburan serendah RM100.

"Bagi setiap pakej pelaburan yang disertai, pelabur dijanjikan keuntungan berlipat ganda dalam tempoh yang singkat," katanya.

Setakat ini, Ramli berkata, empat laporan polis telah diterima melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM78,900.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, PDRM menjangkakan jumlah mangsa bagi sindiket skim pelaburan itu adalah kecil kerana ia baru ditubuhkan.

Sehubungan itu kata beliau, mana-mana individu yang mungkin telah menjadi mangsa sindiket dinasihatkan segera tampil membuat laporan di balai-balai polis berhampiran.

Tambahnya, bagi membanteras kegiatan penipuan pelaburan, PDRM mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan.

"Dapatkan maklumat lanjut daripada sumber-sumber rasmi seperti portal Semakmule CCID, alert list Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebelum membuat keputusan menyertai apa jua skim pelaburan," ujarnya.

Habis...