Air tujuh empangan di Selangor dilepaskan elak banjir

Pelepasan air bagi ketujuh-tujuh empangan yang dikawal selia oleh LUAS bertujuan mengurangkan kapasiti simpanan air empangan - Gambar hiasan, gambar kecil: Izham
Pelepasan air bagi ketujuh-tujuh empangan yang dikawal selia oleh LUAS bertujuan mengurangkan kapasiti simpanan air empangan - Gambar hiasan, gambar kecil: Izham
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengambil inisiatif bagi mengurangkan kapasiti simpanan air di empangan sebagai persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut yang berpotensi mengakibatkan banjir.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Ir Izham Hashim berkata, inisiatif pelepasan air empangan secara optima yang dimulakan pada pertengahan Ogos lalu hingga hujung tahun ini juga telah memberikan impak positif.

Menurut beliau, pelepasan air bagi ketujuh-tujuh empangan yang dikawal selia oleh LUAS itu bertujuan mengurangkan kapasiti simpanan air empangan ke tahap 90 peratus kecuali bagi Empangan Klang Gates ke tahap 85 peratus.

"Tindakan penurunan kapasiti simpanan air empangan ini merupakan inisiatif LUAS untuk menyediakan ruang yang mencukupi bagi kesemua empangan untuk kesiapsiagaan sekiranya menerima kadar intensiti hujan tinggi.

"Inisiatif ini juga bagi mengelakkan limpahan air empangan yang berpotensi menyebabkan kesan banjir di bahagian hilir daripada berlaku," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Izham memberitahu, berdasarkan rekod melalui sistem pemantauan kapasiti semasa empangan negeri (IWRIMS), LUAS mendapati berlaku peningkatan lima peratus kapasiti simpanan air Empangan Klang Gates berikutan hujan lebat pada Rabu dengan jumlah 85 milimeter (mm) di kawasan empangan berkenaan.

"Namun tiada berlaku sebarang limpahan dari empangan susulan ruang yang masih cukup untuk menampung kehadiran hujan luar biasa pada masa ini," jelas beliau.

Dalam pada itu, katanya, sebarang pelepasan air empangan telah dilaksanakan secara berperingkat dan dikawal rapi oleh pihak Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi kesemua empangan terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Ia turut mengambil kira tren paras air sungai semasa serta ramalan cuaca dalam tempoh tujuh hari ke hadapan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia," jelas beliau.

Sehubungan itu, katanya, tiada pelepasan akan dibuat sekiranya paras sungai menunjukkan trend meningkat serta hujan lebat di kawasan hilir.

Sebarang informasi berkaitan, orang awam digalakkan untuk merujuk maklumat status empangan negeri Selangor secara harian di laman sesawang IWRIMS, LUAS di https://iwrims.luas.gov.my.

Selain itu, orang ramai boleh melayari laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) di https://publicinfobanjir.water.gov.my dan juga digalakkan merujuk maklumat berkaitan ramalan hujan di Jabatan Meterologi Malaysia https://www.met.gov.my/?lang=en.

Mereka juga boleh membuat aduan menerusi ehttp://aduan@luas.gov.mymel aduan@luas.gov.my atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-2647904.