FAM, MFL, YAKEB hulur sumbangan kepada balu Sathianathan

Priya (tiga dari kiri) menerima sumbangan disampaikan Sivasundaram di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Priya (tiga dari kiri) menerima sumbangan disampaikan Sivasundaram di Wisma FAM, Kelana Jaya.
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) bersama Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) menghulurkan sumbangan kepada balu mendiang B Sathianathan, Krishna Priya, di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Majlis penyerahan sumbangan itu dihadiri Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram, Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dan Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

Sivasundaram berharap inisiatif sumbangan bersama MFL dan YAKEB itu dapat meringankan beban yang dilalui keluarga mendiang yang banyak berjasa dan menabur bakti kepada bola sepak negara.

“Saya berharap dengan sumbangan daripada FAM, MFL dan YAKEB sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga mendiang B Sathianathan,” katanya dalam hantaran di Facebook FAM.

Turut hadir pada majlis itu adalah Naib Presiden FAM, Mohd Joehari Mohd Ayub; Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam dan Ketua Pegawai Eksekutif YAKEB, Zuhairi Abd Manaf.

Sementara itu, Priya menghargai keprihatinan dan sokongan yang diberikan terhadap keluarganya.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak FAM kerana tidak pernah putus untuk membantu beliau (Sathianathan) ketika mendiang masih ada dan terima kasih juga kepada MFL dan YAKEB atas keprihatinan serta sokongan terhadap keluarga kami,” katanya.

Julai lalu, arena bola sepak tempatan menerima perkhabaran duka berikutan pemergian bekas pengendali skuad Harimau Malaya itu yang meninggal dunia akibat kanser di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). - Bernama

Artikel Berkaitan: