Mahkamah tolak rayuan keluarga berhubung kematian Karuna Nithi di lokap

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan sebuah keluarga untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman sivil keluarga itu terhadap kerajaan berhubung kematian tahanan polis, mendiang, P Karuna Nithi pada 2013.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk S Nantha Balan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Dr Choo Kah Sing, sebulat suara berkata, saman pemula oleh keluarga itu adalah sama seperti sebelum ini yang terdahulu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Seremban pada 2018.

Pada Februari tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman kedua keluarga itu yang difailkan pada 2021.

Ketika membacakan keputusannya, Hakim Mohd Nazlan berkata walaupun saman kedua itu mencuba pendekatan berbeza dengan mendapatkan pelepasan atas dakwaan melanggar hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan, saman itu masih pada dasarnya menuntut pampasan daripada kerajaan berhubung kematian Karuna Nithi.

"Dalam penghakiman kami, walaupun punca tindakan bagi saman kedua itu kelihatan berbeza daripada tindakan undang-undang pertama, adalah tidak tepat untuk mengatakan saman semasa tidak menjadi isu kepada saman terdahulu.

"Memandangkan persamaan kedua-dua tindakan itu, perayu (keluarga) boleh memasukkan tuntutan sekarang dalam saman terdahulu tetapi mereka gagal berbuat demikian. Mahkamah mendapati Seksyen 2(a) Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam (PAPA) tidak ultra vires Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh itu, kami menolak rayuan ini tanpa perintah mengenai kos,” katanya sambil menambah prinsip undang-undang res judicata berkuat kuasa dalam kes itu.

Res judicata ialah maksim undang-undang yang bermaksud sesuatu perkara yang telah diputuskan secara perundangan berdasarkan meritnya, tidak boleh litigasi lagi antara pihak yang sama.

Artikel Berkaitan:

Keluarga Karuna Nithi diwakili peguam T Manoharan manakala Peguam Kanan Persekutuan Donald Joseph Franklin mewakili pihak 16 responden termasuk anggota polis dan kerajaan.

Balu Karuna Nithi R Kaliamah dan dua anak lelaki mereka K Yugesh Varan dan K Kisho Kumar memfailkan saman pemula pada 26 Januari 2021 terhadap 16 defendan termasuk 14 anggota polis dan kerajaan, bagi mendapatkan pampasan atas kematian Karuna Nithi.

Karuna Nithi ditahan pada 28 Mei 2013 tetapi meninggal dunia dalam tahanan pada 1 Jun 2013, dengan 49 kecederaan baharu di badannya.

Pada Januari 2015, penghakiman terbuka Mahkamah Koroner memutuskan kematian Karuna Nithi, 42, disebabkan beberapa faktor termasuk dipukul oleh polis serta tahanan lain menyebabkan si mati mengalami 49 kecederaan.

Susulan inkues itu, keluarga berkenaan memfailkan saman atas dakwaan cuai dan serangan terhadap defendan kerana menyebabkan kematian si mati, di Mahkamah Tinggi Seremban pada 25 Januari 2018.

Bagaimanapun, mahkamah menolak saman keluarga itu atas alasan ia difailkan melebihi tempoh masa yang diperuntukkan iaitu lebih tiga tahun selepas kematian Karuna Nithi dalam tahanan pada 2013. Mahkamah Rayuan juga mengekalkan keputusan itu.

Mahkamah Persekutuan pada Disember 2020 juga menolak rayuan keluarga itu atas alasan saman itu dihalang mengikut Seksyen 2(a) PAPA kerana kausa tindakan hendaklah bermula dari tarikh kematian si mati dan bukan dari tarikh keputusan inkues. - Bernama