Pas belum terima jemputan sertai kerajaan - Takiyuddin

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Pas masih belum menerima sebarang jemputan daripada mana-mana pihak untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan susulan spekulasi mengenai penyertaan parti itu dalam kerajaan tidak lama lagi.

“Setakat ini, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah memanjangkan tawaran secara terbuka (semasa wawancara) dalam Times Magazine.

“Bagi Pas, kita masih belum terima apa-apa lagi,” katanya kepada pemberita ketika melawat pusat media sempena Muktamar Pas ke-69 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Khamis.

Sebelum ini Anwar yang juga Pengerusi Pakatan harapan (PH) ketika diwawancara media antarabangsa berkata, beliau bersedia untuk mempertimbangkan kerjasama bersama parti Islam itu sebagai rakan kongsi dalam Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu Ahli Parlimen Kota Bharu tersebut turut mempertahankan kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Rabu mengenai keyakinan Pas dapat kembali menerajui pentadbiran Persekutuan.

“Asas dari segi undang-undang, kerajaan boleh ditukar pada bila-bila masa, asalkan memenuhi keperluan Perlembagaan.

“Sesiapa pada pandangan Yang di-Pertauan Agong mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, orang itu mesti dilantik sebagai Perdana Menteri (PM). Ia berlaku pada tahun 2020, 2021 dengan penukaran kerajaan dan PM.

Artikel Berkaitan:

“Bila perdana menteri hilang majoriti (kepercayaan) ahli Dewan Rakyat, maka bertukar kerajaan. PM perlu letak jawatan (dalam) Kabinet. Tun Mahathir letak jawatan dalam Kabinet dia, Tan Sri Muhyiddin (Yassin) letak jawatan dalam Kabinet bila hilang kepercayaan.

“Itu perkara dan prinsip asas,” jelasnya.

Ditanya sama ada Pas akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri di Dewan Rakyat, Takiyuddin yang merupakan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) menegaskan, perkara itu tidak perlu dilakukan.

"Membentangkan usul tidak percaya mungkin salah satu caranya. Namun ada cara lain juga," ujarnya.