Kerajaan Perpaduan dan Pas

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kanan) bersama Anwar dan isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail semasa majlis perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-54 di Stadium Indera Mulia. - Foto fail Bernama
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kanan) bersama Anwar dan isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail semasa majlis perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-54 di Stadium Indera Mulia. - Foto fail Bernama
A
A
A

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mencetus perbualan dan kontroversi apabila memberitahu majalah Time beliau telah mengundang Pas menyertai Kerajaan Perpaduannya. Wawancara itu berlaku pada 24 September dan diterbitkan pada minggu lepas.

Idea mengundang Pas menyertai kerajaan ini sudah pun dilontarkan oleh veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang beberapa bulan yang lepas. Kenyataan Anwar kali ini mendapat sokongan Kit Siang, MCA dan sesetengah penganalisis politik.

Mereka melihat ia langkah yang boleh membawa kepada kestabilan politik atau kesederhanaan Pas.

Persoalannya, mengapa mengundang Pas saja dan bukan Bersatu sekali? Kalau rancangan ini berjaya dan Bersatu ditinggalkan sebagai parti pembangkang tunggal di Parlimen – selain Muda - dengan 31 kerusi, PN akan terkubur dan mungkin juga Bersatu.

Sungguhpun mereka tidak akan lompat parti kerana takut pilihan raya kecil (PRK), namun tidak hairanlah ramai wakil rakyat Bersatu akan mengikut langkah Ahli Parlimen Kuala Kangsar untuk menyokong kerajaan tanpa keluar parti.

Dalam wawancara dengan Time, Anwar juga menyatakan hasratnya untuk menyuburkan demokrasi. Adakah idea ‘kerajaan perpaduan’ yang melenyapkan pembangkang suatu langkah yang demokratik?

‘Kerajaan perpaduan’ yang merangkumi kesemua atau sekurang-kurangnya kebanyakan parti-parti utama berlaku dalam dua keadaan. Pertama ialah berlakunya krisis seperti peperangan atau bencana alam, dan parti-parti perlu bersatu padu.

Kedua ialah bersepakat untuk menghapuskan persaingan antara parti-parti dan membahagi-bahagikan imbuhan, seperti syarikat membentuk kartel untuk mengaut keuntungan secara monopoli.

Artikel Berkaitan:

Kalau kita imbas kembali sejarah, UMNO dan Pas pernah bersepakat selama enam tahun, bermula dengan pembentuk kerajaan campuran negeri Kelantan pada 1972 dan berakhir dengan Pemasyhuran Darurat di Kelantan pada penghujung tahun 1977.

Mengapa dua parti yang berjuangkan kepentingan orang Melayu tidak dapat bersatu padu?

Lima dekad kemudian, dua kerajaan campuran yang didominasi oleh tiga parti nasionalis Melayu-Muslim – UMNO, Pas dan Bersatu juga tidak dapat bertahan sampai genap penggal Parlimen. Mengapa?

Ini bukan kerana orang Melayu tidak mengerti perpaduan atau termakan hasutan orang lain sampai berbalah sama sendiri.

Jawapannya ringkas, berpecah dan bersaing adalah naluri manusia. Persaingan antara kaum berlaku di kebanyakan negara di dunia.

Selagi sasaran yang dikejar – tak kira itu jawatan, kekasih atau pelanggan – kurang daripada kehendak pelaku yang mengejar, maka berlakulah persaingan dan perpecahan.

Yang memudaratkan bukan persaingan, tetapi persaingan yang toksik.

Kalau Mydin, Giant, Lotus’s dan AEON semua bersatu-padu membentuk kartel, harga barang akan naik dan kita pengguna sengsara.

Kalau semua ahli sukan bersatu dan berunding untuk menentukan siapa dapat emas, perak dan gangsa, tiadalah Sukan Asia, Piala Dunia dan Olimpik.

Untuk masyarakat maju ke depan, kewujudan kartel dan monopoli tidak harus dipupuk. Yang perlu ialah persaingan yang sihat dan profesional.

Kalau kita semata-mata menyekat persaingan, mungkin pelaku saling menikam di belakang sambil senyum berteriak perpaduan di mulut.

Kalau Anwar ingin suburkan demokrasi dan stabilkan politik, tidak perlu mengundang Pas atau PN sertai Kerajaan Perpaduan.

Sebaliknya berikan ruang dan sumber pembangkang untuk bersaing secara membina. Berikan peruntukan kawasan adil. Iktiraf kabinet bayangan.

Pembangkang akan dihukum pengundi jika tidak membalas budi dengan budi.

* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway