Semua calon Dewan Ulama Pas menang tanpa bertanding

Pemilihan kepimpinan Dewan Ulama Pas bagi sesi 2023-2025 menyaksikan semua calon menang tanpa bertanding. - Foto Facebook Ustaz Mohd Nor Hamzah
Pemilihan kepimpinan Dewan Ulama Pas bagi sesi 2023-2025 menyaksikan semua calon menang tanpa bertanding. - Foto Facebook Ustaz Mohd Nor Hamzah
A
A
A

SHAH ALAM - Pemilihan kepimpinan Dewan Ulama Pas bagi sesi 2023-2025 menyaksikan semua calon menang tanpa bertanding.

Ia berikutan enam calon membuat keputusan untuk menarik tarik diri di saat akhir termasuk Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Ahmad Zawawi Salleh bagi jawatan Ketua Dewan Ulama.

Susulan keputusan itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Yahya dipilih sebagai Ketua Dewan Ulama bagi sesi 2023-2025 sekali gus mengekalkan jawatan disandangnya.

Jawatan Timbalan Ketua dan Naib Ketua kekal disandang Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Khirul Muntanazar Ismail.

Keputusan tersebut diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Muktamar Pas Pusat kali ke-69, Datuk Dr Ab Halim Tamuri.

Dalam pada itu, 12 Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulama yang baharu dilantik antaranya Ibrahim Tahir, Hishammudin Abdul Karim, Masu'di Din, Muhammad Ismi Taib, Zulqarnain Hassan dan Mohd Asri Mat Daud.

Sementara itu, Ahmad ketika berucap berkata, Dewan Ulama kini berkembang dan mempunyai 143 kawasan di seluruh negara berbanding 120 kawasan tahun lalu.

"Organisasi Dewan Ulama di pelbagai peringkat harus diperkemas supaya gerak kerja melahirkan ulama dapat berjalan secara sistematik dan teratur.

Artikel Berkaitan:

"Ini menjadi tanggungjawab semua bagi memastikan sayap ini sentiasa aktif sebagai satu komponen utama Pas, selain Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat," ujarnya.

Muktamar Dewan Ulama dirasmikan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Mohd Amar Abdullah.