MAIS nasihat masyarakat tidak pandang serong asnaf riqab

Zaihan ketika berucap semasa Majlis Apresiasi Pelatih Baitul Ehsan pada Khamis.
Zaihan ketika berucap semasa Majlis Apresiasi Pelatih Baitul Ehsan pada Khamis.
A
A
A

SABAK BERNAM - Masyarakat dinasihatkan tidak memandang serong terhadap asnaf ar-riqab (dibelenggu) yang masih memerlukan bimbingan dan ingin merubah diri ke arah kebaikan.

Timbalan Setiausaha Operasi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Zaihan Mohd Zain berkata, masyarakat perlu menjadi 'mata dan telinga' bagi memastikan mereka tidak terus 'hanyut' dalam kehidupan.

"Masyarakat perlu menjadi contoh kebaikan kepada mereka yang kehilangan arah akibat ujian gejala sosial," katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pelatih Baitul Ehsan di sini pada Khamis.

Seramai 22 pelatih menamatkan tempoh pemulihan di pusat itu dan sebanyak enam kategori anugerah diberikan kepada mereka yang cemerlang.

Zaihan berkata, MAIS komited untuk terus melaksanakan tanggungjawab sosial kepada golongan asnaf riqab.

Katanya, pelbagai program dan aktiviti diadakan untuk kesedaran ummah terhadap pembangunan asnaf riqab di negeri ini.

"Aktiviti dilaksanakan seperti Forum Multaqa Murabbi Riqab 2023, Sembang Santai berkaitan riqab di lapangan, Program Webinar Baitul Ehsan di media sosial dan pelbagai lagi yang bertujuan memberikan informasi terkini berkaitan pemulihan asnaf riqab," jelas beliau.

Menurut Zaihan, MAIS menerusi Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan berjaya memulihkan 317 pelatih dalam tempoh lima tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Angka ini menunjukkan pusat ini komited dalam menghasilkan insan bukan sahaja baik akhlak rohaninya, malah mempunyai kualiti dalam mendepani cabaran kehidupan di luar sana," jelas beliau.

Zaihan memberitahu, pusat perlindungan itu menempatkan wanita terlibat dengan gejala sosial dan memerlukan bimbingan bagi proses pemulihan.

"Pusat ini telah menyusun dan melaksanakan pelbagai program pemulihan kepada asnaf riqab ke arah kehidupan lebih baik," tambah beliau.