Tujuh ajaran sesat dalam radar PDRM - KPN

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau rapi pergerakan tujuh kumpulan ajaran sesat yang dipercayai bergiat aktif di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid berkata, tujuh kumpulan ajaran sesat yang dipantau rapi PDRM pada masa ini adalah Tarekat Habib Shah, Dewan Perkasa Ekonomi Islam Nusantara (DPEIN), Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT), Millah Abraham @ Ibrahim (MA), Ajaran Suhaini @ Sihulk, Nur Mutiara Mutmainnah (NMM) serta The Ahmadi Religion of Peace and Light.

"Kesemua ajaran sesat ini sedang dipantau rapi bagi diambil tindakan selanjutnya oleh PDRM kerana ia dilihat mampu mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam.

"Pihak polis memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan penyebaran ajaran sesat yang boleh mendatangkan ancaman kepada masyarakat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu tegas beliau, pemantauan rapi ke atas tujuh ajaran sesat itu dijalankan pihak polis bagi memastikan tiada penganut atau pengamal ajaran sesat melangkaui garisan keselamatan.

Tambahnya, demi keselamatan dan ketenteraman awam, pihak polis akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi di bawah peruntukan Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jelas beliau, tindakan itu akan diambil sekiranya terdapat penganut atau pengamal ajaran sesat yang dikesan membuat sebarang tindakan atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan kegusaran awam, suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan.

"Dalam memastikan perkara seumpama ini tidak berlaku, PDRM juga bekerjasama erat menjalankan siasatan bersepadu dengan pelbagai agensi kerajaan serta Jabatan Agama Islam Negeri.

Artikel Berkaitan:

"Ini bagi membendung kegiatan ajaran sesat dan fahaman terpesong daripada disebarkan dalam kalangan masyarakat," ujarnya.

Sementara itu, Razarudin berkata, sebanyak 23 tangkapan membabitkan aktiviti kumpulan ajaran sesat berjaya dibuat PDRM bagi tempoh hampir dua tahun bermula 2022.

Katanya, bermula 2022 dan sepanjang tahun ini, pihak polis telah merekodkan 51 laporan berhubung aktiviti kumpulan ajaran sesat atau menyeleweng.

Beliau berkata, kesemua tangkapan ke atas pemimpin dan pengikut ajaran sesat itu dibuat PDRM bersama agensi-agensi berkaitan.

Kata beliau, jumlah tangkapan tersebut melibatkan Tarekat Habib Shah sebanyak 20 tangkapan, manakala masing-masing satu tangkapan bagi ajaran Ilmu Akhir Zaman, Nur Mutiara Makrifatullah dan Sihulk.