Waspada ancaman gugat akidah Muslimin

Pelihara akidah daripada terjebak dalam kancah ajaran sesat, sekali tergelincir menyebabkan anda terjerumus dalam kesyirikan

PIHAK berwajib perlu menyekat penyebaran ajaran sesat dan pengaruh buruk menerusi media sosial. -Gambar hiasan
PIHAK berwajib perlu menyekat penyebaran ajaran sesat dan pengaruh buruk menerusi media sosial. -Gambar hiasan
A
A
A

HARI ini akidah umat Islam diancam dengan pelbagai fahaman dan ajaran sesat daripada individu atau kumpulan tertentu. Seandainya pegangan akidah tidak kukuh, maka umat Islam akan mudah terpengaruh.

Ajaran sesat didefinisikan oleh para pengkaji sebagai: “Sebarang ajaran dan amalan yang didukung oleh orang-orang Islam dan juga orang-orang bukan Islam yang mendakwa ajaran atau amalan tersebut berdasarkan kepada ajaran Islam sedangkan pada hakikatnya ajaran serta amalan itu bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah, bercanggah dengan akidah Islam dan berlawanan pula dengan mazhab yang muktabar iaitu mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah.” – Jurnal Usuluddin, Bil. 26 (2007).

Menurut beberapa kajian, sesiapa yang terbabit kancah ajaran sesat, akidahnya akan terjejas iaitu ia boleh menyebabkan seseorang itu terjerumus dalam kesyirikan dan boleh menyebabkan murtad (terkeluar daripada Islam).

Beberapa kumpulan ajaran sesat yang dikenalpasti memberi ancaman kepada akidah umat Islam seperti ajaran Syiah, Hizbut Tahrir, Millah Abraham, Islam Jemaah dan Al-Arqam.

JAUHI diri daripada fahaman salah yang menyesatkan akidah.
JAUHI diri daripada fahaman salah yang menyesatkan akidah.

Antara ciri-ciri yang memberi ancaman adalah seperti berikut:

- Mempercayai Imam (pemimpin) adalah maksum iaitu terpelihara daripada sebarang dosa;

Artikel Berkaitan:

- Berpegang kepada fahaman Qadariyyah;

- Menggabungkan tiga ajaran agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi;

- Berbaiah dengan pemimpin dan mengaku sebagai Amirul Mukminin yang menjadi sumber hukum;

- Mengamalkan Aurad Muhamadiah sebagai formula menjalinkan hubungan hati antara para pengikut dan para pemimpin supaya tetap dengan perjuangan di atas dasar ketaatan dan keikhlasan.

Kumpulan yang dinyatakan tersebut sangat memberi ancaman kepada akidah umat Islam disebabkan pengaruh mereka dan bergerak dalam jemaah yang ramai.

Dakwah dan solusi

Bagi memastikan masyarakat hidup dalam penghayatan Islam sebenar maka sebarang ancaman terhadap akidah perlu diberi perhatian.

Tindakan penguatkuasaan undang-undang amat diperlukan sebagaimana dinyatakan oleh ALLAH menerusi firman-NYA yang bermaksud:

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika KAMI berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi ALLAH jualah kesudahan segala urusan.” (Surah al Hajj, ayat 41).

Dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 3 (1) – Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman di mana-mana bahagian Persekutuan.

Ini bermaksud jika ada ancaman terhadap agama Islam maka ia perlu ditangani segera bagi mengangkat agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

PEWARTAAN fatwa sesuatu ajaran sesat perlu dibuat bagi menyekat dakyahnya daripada merebak. -Gambar hiasan
PEWARTAAN fatwa sesuatu ajaran sesat perlu dibuat bagi menyekat dakyahnya daripada merebak. -Gambar hiasan

Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan Negeri Atau Persekutuan Bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan telah digubal bagi mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama bukan Islam di kalangan orang-orang yang menganut agama Islam.

Dalam usaha menangani ancaman akidah, beberapa perkara berikut perlu diberikan perhatian:

Pertama: Dari segi status ajaran itu sendiri sama ada sudah difatwakan atau tidak.

Kedua: Membabitkan usaha pencegahan penyebaran dan penguatkuasaan fatwa mengikut peruntukan undang-undang.

Ketiga: Berkaitan usaha pemulihan pengikut ajaran sesat supaya kembali ke pangkal jalan menerusi pemulihan akidah dan kepercayaan.

Kuat kuasa undang-undang

Pewartaan fatwa sesuatu ajaran sesat perlu dibuat bagi menyekat dakyahnya daripada merebak.

Penguatkuasaan undang-undang mengikut peruntukan Enakmen atau Akta Kesalahan Jenayah Syariah bagi negeri-negeri juga dilaksanakan terhadap mereka yang didapati melanggar fatwa tersebut.

Kesalahan yang berkaitan dengan akidah di dalam enakmen seperti pemujaan, doktrin palsu dan dakwaan palsu, mempersendakan ayat al-Quran atau hadis, menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina, menghina pihak berkuasa agama, pendapat yang bertentang dengan fatwa, mengajar agama tanpa tauliah dan penerbitan yang bertentangan dengan hukum syarak.

Selain tindakan penguatkuasaan, usaha dakwah membanteras penyelewengan akidah melalui peningkatan ilmu pengetahuan asas fardu ain kepada golongan muda (peringkat sekolah rendah dan menengah) hendaklah dilakukan.

Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS juga tidak ketinggalan untuk terlibat secara langsung mengadakan program kerohanian kepada remaja dan golongan yang ditahan supaya dakwah sampai kepada sasaran sebenar.

Di peringkat persekutuan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mewujudkan Institut Pemantapan dan Perkaderan Akidah Malaysia (IPHAM) yang bertanggungjawab dalam aspek akidah di Malaysia.

Institut ini menganjurkan program khusus kepada masyarakat Islam dalam usaha memantapkan akidah berlandaskan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Terdapat empat program khusus dalam memantapkan akidah remaja iaitu:

1. Kursus Pemantapan Akidah dan Pemikiran Islam.

2. Kursus Pembangunan Sahsiah dan Pemantapan Akidah.

3. Diskusi Isu-Isu Semasa Akidah.

4. Wacana Intelektual Akidah menurut Pendekatan Wasatiyyah: Ancaman Ideologi Semasa.

Seharusnya penekanan terhadap pengajaran akidah perlu digerakkan seawal usia muda bagi mendidik mereka menghayati dan menghormati agama.

Institusi pendidikan memainkan peranan yang sangat besar dalam memastikan kesedaran dan penghayatan agama Islam di kalangan murid-murid sekolah rendah.

Di samping itu, institusi kekeluargaan dan NGO perlu bekerjasama bagi mendidik remaja yang berfikir dan bertindak mengikut acuan akidah Islam sebenar.

Pihak berwajib perlu memainkan peranan membuat sekatan terhadap media sosial yang mempunyai pengaruh-pengaruh buruk dan merosakkan akidah serta pemikiran umat Islam. Apa jua pengaruh yang jelas mengancam akidah perlu ditangani segera melalui tindakan penguatkuasaan undang-undang.

Kelemahan dalam menangani kemelut dan kekusutan akidah umat menyebabkan ajaran salah itu terus berkembang dan sukar dibendung.

***Bahagian akhir