Israel bedil kawasan ibu pejabat PRCS, Hospital al-Quds di Gaza

Israel membedil kawasan sekitar ibu pejabat PRCS dan Hospital al-Quds di Gaza. - Agensi
Israel membedil kawasan sekitar ibu pejabat PRCS dan Hospital al-Quds di Gaza. - Agensi
A
A
A

GAZA CITY - Pesawat tempur Israel melancarkan beberapa serangan udara menyasarkan kawasan sekitar ibu pejabat utama Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) dan sekitar Hospital al-Quds di barat Genting Gaza pada Rabu.

PRCS dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pesawat Israel membedil beberapa bangunan kediaman dan jalan utama sekitar ibu pejabatnya yang terletak di kawasan kejiranan Tal al-Hawa.

Menurut PRCS, lokasi serangan hanya berjarak 100 meter dari ibu pejabatnya dan Hospital al-Quds.

Serangan itu berlanjutan selama 30 minit dan menyebabkan serpihan berterbangan di dalam ibu pejabat PRCS yang menempatkan kira-kira 8,000 penduduk serta kakitangan.

"PRCS menyeru masyarakat antarabangsa untuk memberikan perlindungan segera kepada orang awam dan kru perubatan," katanya.

Sementara itu, rakaman video di platform X memaparkan orang ramai panik dan mencari perlindungan ketika kawasan sekitar Hospital al-Quds dibedil.

Serangan tidak mengenai bangunan hospital tetapi mencetuskan panik kerana ia berlaku sehari selepas pengeboman Hospital Al-Ahli yang mengorbankan lebih 500 mangsa.

Rejim Zionis menafikan penglibatan dalam serangan udara di Hospital Al-Ahli sebaliknya menuduh ia angkara roket kumpulan Jihad Islam yang gagal dilancarkan ke Israel. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!