Ibu pemandu Mufti Kelantan meninggal dunia

Gambar kenangan keluarga Nik Nurul Shazelin bersama Allahyarham ibunya (duduk).
Gambar kenangan keluarga Nik Nurul Shazelin bersama Allahyarham ibunya (duduk).
A
A
A

KOTA BHARU - Ibu kepada pemandu Mufti Kelantan, Nik Zabedah Awang, 61, yang ditidurkan pada 6 Oktober lalu akibat pelbagai komplikasi meninggal dunia pada Sabtu.

Allahyarham Nik Zabedah menghembus nafas terakhir tanpa mengetahui anaknya telah meninggal dunia 11 jam selepas dia ditidurkan.

Allahyarham Nik Mohammad Ahzan Mohd Nawi, 40, meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 38, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Machang.

Adik keenam Nik Zabedah, Nik Nurul Shazelin Mohd Nawi, 31, memaklumkan, dia dan adik-beradik lain juga tidak sempat memaklumkan kepada ibu mereka yang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) sejak 28 September lalu.

"Saya sendiri tidak dapat berbisik di telinga ibu memberitahu abang sudah tiada kerana terpaksa mengikut prosedur dan hanya datang melawat apabila dimaklumkan pihak hospital.

"Lebih menyedihkan kami diuji kehilangan dua ahli keluarga dalam tempoh terdekat. Abang meninggal dunia pada 5 Oktober, manakala ibu pergi pada 14 Oktober," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Bagaimanapun tambahnya, pihak hospital banyak membantu dan sentiasa memaklumkan mengenai perkembangan ibunya.

"Pada pagi Sabtu, doktor menghubungi saya untuk memberitahu keadaan ibu yang terlalu lemah dan ada prosedur yang perlu dilakukan. Ketika itu kami semua sudah reda.

Artikel Berkaitan:

"Pada jam 6.30 petang hari yang sama doktor meminta kami datang ke hospital tetapi tidak sempat bertemu ibu kerana dia 'pergi' 10 minit sebelum kami tiba di wad," katanya.

Berkongsi kisah sebelum Nik Zabedah ditidurkan, Nik Nurul Shazelin berkata, ibunya itu ada meminta makanan yang dianggap pelik kerana tidak dijual di kedai atau restoran.

"Antaranya ibu minta nasi yang dimasak dengan santan. Saya masak sendiri dan tunaikan semua permintaan ibu kerana ketika itu dia mahu menikmatinya.

"Sepanjang usianya ibu juga tidak suka bubur nasi tetapi berselera menjamahnya sebelum dia ditidurkan," katanya.

Ibu kepada tiga anak itu juga memberitahu harapannya untuk melihat keajaiban ibunya kembali sihat.

"Bagaimanapun, kami reda jika itu ketentuan ALLAH SWT mengambil nyawa ibu yang lama menderita sakit," katanya.