Tiga lelaki didakwa memeras remaja 18 tahun serah RM283,000

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas satu pertuduhan melakukan pemerasan sehingga mendorong seorang remaja lelaki menyerahkan RM283,000, dua minggu lalu.

Pekerja kedai runcit, Yap Ming Shuia, 31; peniaga rokok elektronik, Low Kah Wei, 26 dan Ivan Heah Khai Yee, 23, yang bekerja sendiri membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Norina Zainol Abidin.

Mengikut pertuduhan, tiga tertuduh dengan seorang lagi yang masih bebas, didakwa melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada remaja berusia 18 tahun, sehingga mendorong mangsa membuat transaksi RM283,000 secara dalam talian ke beberapa akaun bank.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Bandar Bukit Jalil pada jam 11.06 pagi 29 September hingga 12.30 tengah hari 3 Oktober lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip tidak mencadangkan ikat jamin diberi kepada semua tertuduh kerana kes itu termasuk dalam kesalahan yang tidak boleh dijamin.

“Kami mohon mahkamah melihat nilai pemerasan yang mencecah ratusan ribu ringgit.

“Semua tertuduh mempunyai risiko untuk melarikan diri dan mengganggu mangsa dalam kes tersebut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Nidzuwan berkata, sekiranya mahkamah mengguna pakai budi bicara untuk memberikan ikat jamin, pendakwaan mencadangkan kadar itu ditetapkan antara RM20,000 hinggaRM30,000 bagi setiap tertuduh.

Dalam kes ini, peguam, P Muniswer mewakili Ming Shuia dan Kah Wei sementara peguam, Navinjit Singh bagi pihak Ivan, merayu ikat jamin diberi pada kadar rendah dengan alasan anak guamnya perlu menangung keluarga.

Muniswer berkata, anak guamnya tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri malah tidak membantah sekiranya mereka dikenakan syarat tambahan.

“Jika syarat tambahan tidak dipatuhi, jaminan itu boleh ditarik balik pada bila-bila masa,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Norina membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 20 November depan.

Pada 11 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan seorang remaja terpaksa menyembunyikan diri dan membuat bayaran sebanyak RM283,000 kepada sindiket penipuan, selepas dihubungi ‘scammer’ yang menyamar sebagai pegawai polis.