Bengkel Kajian Semula Prestasi Sukan Asia bulan depan

Hannah - Foto Bernama
Hannah - Foto Bernama
A
A
A

MAJLIS Sukan Negara (MSN) akan mengadakan Bengkel Kajian Semula Prestasi Sukan Asia bersama pihak berkepentingan pada 8 November ini sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi temasya sukan peringkat antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, bengkel itu bakal melibatkan pakar-pakar daripada Universiti Sains Sukan Nippon (NSSU).

"Untuk Sukan SEA Kemboja juga, bengkel post-mortem yang sama telah diadakan untuk menambah baik program yang sedia ada," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dalam persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang ingin tahu pencapaian atlet Malaysia dalam Sukan Asia Hangzhou 2022 baru-baru ini, serta perancangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk persediaan atlet dan pembangunan sukan bagi temasya peringkat antarabangsa akan datang.

Beliau berkata, semua atlet negara telah mempamerkan prestasi luar biasa pada Sukan Asia Hangzhou 2022 dalam acara masing-masing dan kejayaan itu dicapai hasil persiapan yang diatur sebelum ini.

Pada temasya itu, katanya, kontinjen Malaysia yang terdiri daripada 288 atlet berjaya meraih enam pingat emas, lapan pingat perak dan 18 pingat gangsa.

"Menjadikan jumlah keseluruhan ialah 32 pingat dan telah mencapai sasaran yang diberikan oleh MSN dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM)," katanya.

Mengenai faktor kemenangan atlet di Hangzhou, beliau merumuskan ia antara lain kerana adanya beberapa pendedahan pertandingan serta latihan diperuntukkan oleh MSN melibatkan perbelanjaan sebanyak RM9.4 juta.

Artikel Berkaitan:

Ia meliputi 119 pendedahan pertandingan di luar negara dan 41 pendedahan latihan yang telah diberikan kepada atlet, katanya.

"Geran padanan sukan juga memainkan peranan apabila kita lihat khasnya untuk pertandingan karate, apabila mereka ada pertandingan seperti ini yang dianjurkan di Malaysia, telah membantu mereka memperbaiki prestasi mereka di Sukan Asia.

"Akhir sekali faktor kemenangan ini saya beri kepada atlet, kerana saya lihat atlet sendiri dengan kemampuan masing-masing... mereka jadi pemenang pingat kerana mereka menang dalam minda mereka dulu sebelum mereka masuk gelanggang," katanya dan menambah usaha sama persatuan-persatuan sukan juga menyumbang kepada kemenangan atlet pada temasya tersebut. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!