[VIDEO] Enrolmen murid aliran STEM meningkat 45.73 peratus - Fadhlina

A
A
A

KUALA LUMPUR - Enrolmen murid dalam aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menunjukkan peningkatan daripada 40.95 peratus pada 2021 kepada 45.73 peratus pada 2023, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, ia hasil pelbagai langkah proaktif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) termasuk Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang memberi penekanan kepada meningkatkan minat murid menerusi pendekatan pembelajaran baharu dan pemantapan kurikulum.

"KPM juga meningkatkan kemahiran dan kebolehan guru bidang STEM serta meningkatkan kesedaran ibu bapa, orang awam terhadap STEM.

"Usaha meningkatkan kompetensi guru dalam pemantapan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam dan luar bilik darjah merupakan antara langkah dilaksana bagi meningkatkan minat murid, seterusnya mendorong mereka memilih aliran STEM di peringkat kajian lebih tinggi,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) berhubung langkah KPM menangani isu peratusan murid menengah atas yang menyertai aliran STEM, dari 2017 hingga 2022, yang mencatatkan penurunan daripada 45.2 peratus kepada 40.94 peratus.

Fadhlina - Foto Bernama
Fadhlina - Foto Bernama

Fadhlina berkata, KPM sentiasa memberi perhatian kepada kesediaan infrastruktur untuk menyokong pendidikan STEM seperti diumum dalam Belanjawan 2024 iaitu sejumlah RM100 juta disediakan untuk pemerkasaan STEM, khusus untuk tujuan selenggara dan naik taraf makmal komputer selain perolehan peralatan baharu.

Selain itu, peruntukan lain sebanyak RM254 juta juga telah diluluskan untuk pembekalan peralatan pelajaran Reka Bentuk Teknologi (RBT) sekolah rendah dan tujuan ubah suai naik taraf Bilik Reka Bentuk Teknologi (RBT) sekolah rendah dalam Rolling Plan ke-3, katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: