Ringgit dijangka terus dalam aliran menurun minggu depan

Ringgit dijangka terus merosot berbanding dolar AS minggu depan
Ringgit dijangka terus merosot berbanding dolar AS minggu depan
A
A
A

RINGGIT dijangka terus merosot berbanding dolar AS minggu depan kerana ketidaktentuan ekonomi global menyumbang kepada ketidaktentuan dalam pasaran mata wang sedang pesat membangun, termasuk ringgit.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial di Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menekankan bahawa kenaikan 50 mata asas yang mengejutkan oleh Bank of England serta pendirian menaikkan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat akan berterusan buat masa ini.

"Kami percaya naratif ini akan terus menjadi tumpuan minggu depan. Bagaimanapun, pada satu ketika, pengetatan monetari yang agresif akan memperlahankan pertumbuhan ekonomi kerana kos pinjaman telah meningkat dengan ketara manakala kecairan menjadi sedikit,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, walaupun Fed dan bank pusat lain akhirnya akan mengubah pendirian mereka, mata wang pasaran yang membangun akan kekal tidak menentu sehingga masa itu.

"Paras sokongan dan rintangan semasa berada pada RM4.6257 dan RM4.7495 dan saya rasa ia mungkin sekitar RM4.66 hingga RM4.67,” katanya.

Beliau berkata, pasaran akan mula mempertimbangkan potensi kesan dasar monetari yang ketat, menyebabkan penghindaran risiko dan, akibatnya, sokongan kukuh untuk dolar AS.

Ringgit menjadi lemah selama lima hari berturut-turut dalam seminggu yang baru sahaja berakhir sebaik sahaja Pengerusi Fed AS Jerome Powell memberi kenyataan di hadapan Jawatankuasa Perkhidmatan Kewangan berkaitan memerangi inflasi AS dan membayangkan kenaikan kadar faedah.

Kenanga Investment Bank dalam satu nota berkata bahawa ringgit mencecah ambang 4.65 berbanding dolar AS buat kali pertama dalam tempoh lebih tujuh bulan kerana mata wang tempatan itu diseret oleh kelemahan yuan di tengah-tengah prospek ekonomi China yang lemah dan langkah pelonggaran oleh People’s Bank of China.

"Walaupun indeks dolar AS (DXY) terus berlegar di sekitar paras 102.0, ringgit gagal mengurangkan sebarang penurunan berikutan kenyataan yang cenderung menaikkan kadar faedah oleh Powell dan kecenderungan pengetatan global yang berterusan telah mengekalkan peralihan risiko dalam sentimen, mendorong pelabur menjauh daripada aset pasaran baharu muncul yang berisiko,” katanya.

Disebabkan itu, ringgit mungkin terus bergelut untuk mendapatkan hala tuju dan diniagakan antara 4.64 dan 4.67 berbanding dolar AS disebabkan oleh kekurangan pemangkin domestik dan sentimen pasaran yang menolak risiko.

Pada minggu yang akan datang, pasaran mungkin terus memberi tumpuan kepada data makroekonomi AS, ucapan Powell dan bacaan Indeks Pengurus Pembelian China.

"Gabungan data AS yang lemah dan tanda-tanda penambahbaikan dalam aktiviti ekonomi China mungkin sebahagiannya dapat membantu menyokong mata wang tempatan itu. Ringgit juga mungkin mendapat manfaat daripada sebarang berita mengenai rancangan China untuk melancarkan langkah rangsangan tambahan untuk menyokong ekonominya yang goyah," katanya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit susut berbanding dolar AS kepada 4.6760/6805 daripada 4.6130/6165 seminggu sebelumnya. Sepanjang hari dagangan minggu sebelumnya, mata wang tempatan tidak menentu berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan itu turun berbanding yen Jepun kepada 3.2645/2680 daripada 3.2721/2748 pada Jumaat sebelumnya, susut berbanding pound Britain kepada 5.9469/9527 daripada 5.9014/9059 minggu lepas dan merosot berbanding euro kepada 5.0781/0830 from 5.0503/0541 sebelum ini.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang rakan Asean lain.

Ia susut berbanding rupiah Indonesia kepada 311.7/312.2 daripada 308.7/309.1 sebelum ini dan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.4568/4604 daripada 3.4513/4542 seminggu sebelumnya.

Unit domestik itu mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.2765/2950 daripada 13.2974/3140 minggu lepas dan susut berbanding peso Filipina kepada 8.38/8.40 daripada 8.26/8.27 Jumaat lepas. - Bernama