Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

RINGGIT dibuka lemah berbanding dolar AS apabila hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat 10 tahun melonjak kepada 4.91 peratus, tertinggi sejak 2007, sekali gus menunjukkan bahawa premium inflasi sedang meningkat, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai pada 4.7615/7650 berbanding dolar AS daripada penutupan Rabu pada 4.7445/7485.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kebimbangan utama dalam pasaran kini ialah konflik Palestine-Israel.

Sementara itu, ringgit turut diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain kecuali pound Britain, menyaksikan ia mengukuh kepada 5.7809/7852 daripada 5.7869/7917 pada penutupan urus niaga Rabu.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding euro kepada 5.0181/0218 daripada 5.0140/0182 dan rendah berbanding yen pada 3.1794/1820 daripada 3.1685/1714 semalam (Rabu).

Berbanding mata wang Asia yang lain, ringgit turut diniagakan kebanyakannya rendah.

Nilai mata wang tempatan susut berbanding baht Thai kepada 13.0757/0907 daripada 13.0738/0914 dan lemah berbanding rupiah Indonesia pada 301.5/302.0 daripada 301.2/301.5 sebelumnya.

Ia turut merosot berbanding dolar Singapura pada 3.4669/469 daripada 3.4649/4681 tetapi nilai ringgit meningkat berbanding peso Filipina pada 8.36/8.39 daripada 8.37/8.38 semalam. - Bernama

Artikel Berkaitan: