Elon Musk mahu bawa X keluar dari Eropah

Elon Musk - Foto Agensi
Elon Musk - Foto Agensi
A
A
A

SAN FRANCISCO - Pemilk platform media sosial X, Elon Musk sedang mempertimbangkan tindakan untuk membawa keluar perkhidmatan berkenaan dari Eropah.

Lapor Reuters yang memetik laporan berita Insider pada Rabu berkata, langkah itu sebagai tindak balas beliau terhadap peraturan baharu dikenakan bagi platform internet di rantau tersebut.

Sementara itu, sumber rapat X mendakwa bahawa Musk telah membincangkan mengenai penghapusan aplikasi tersebut di Eropah atau menghalang pengguna di Kesatuan Eropah (EU) daripada mengaksesnya.

Pada Ogos lalu, EU telah meluluskan Akta Perkhidmatan Digital (DSA) yang menggariskan peraturan untuk mencegah penyebaran kandungan berbahaya, melarang atau mengehadkan beberapa amalan yang menyasarkan pengguna tertentu serta berkongsi beberapa data dalaman dengan pihak berkuasa dan penyelidik yang berkaitan.

Ketua Perindustrian EU Thierry Breton pada 10 Oktober lalu meminta Musk untuk menangani penyebaran ‘maklumat palsu’ pada saluran media sosial X susulan konflik terbaru di Palestin.

Tindakan itu kononnya bagi mematuhi peraturan kandungan dalam talian EU yang baharu, namun ditolak oleh Musk sebagai usaha Barat untuk mengawal penyebaran maklumat mengenai konflik Israel-Palestin mengikut naratifnya.

Breton berkata, beliau mempunyai bukti bahawa X yang dahulunya dikenali sebagai Twitter, digunakan untuk menyebarkan kandungan haram dan maklumat salah mengenai konflik Israel-Palestin di EU.

Musk dilihat segera menjawab kenyataan Breton dan berkata, syarikatnya berpegang teguh kepada pendirian menyediakan sumber berita terbuka lagi telus. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!