Pas nafi jadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan

Tuan Ibrahim - Foto Bernama
Tuan Ibrahim - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pas menafikan laporan berita sebuah media tempatan memaklumkan bahawa parti tersebut akan menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelaporan berita tersebut jauh berbeza dari konteks ucapan beliau sewaktu perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas pada Rabu.

“Saya ingin menegaskan bahawa, Pas menghormati dan berpegang teguh dengan permuafakatan politik bersama rakan-rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN).

“Pas menolak pelawaan menjadi komponen Kerajaan Madani dengan asas istiqamah bersetia kawan serta tidak akan mengkhianati janji kepada pengundi Pas-PN dan tidak akan bergabung dengan DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya dalam siaran di Facebook pada Khamis.

Pada Khamis, media melaporkan Pas menyatakan keyakinannya akan menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan, susulan jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada parti tersebut.

Dalam pada itu, ujar beliau, keputusan PRU dan pilihan raya negeri (PRN) jelas menunjukkan bahawa rakyat bersama Pas dan PN.

“Saya menyeru agar etika kewartawanan terus dipelihara agar setiap berita itu dilaporkan dengan telus dan tepat,” menurutnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!