Perkhidmatan kereta api Bukit Bendera pulih sepenuhnya

Kereta api funikular Bukit Bendera berfungsi semula kira-kira jam 4.45 petang tadi.
Kereta api funikular Bukit Bendera berfungsi semula kira-kira jam 4.45 petang tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Perkhidmatan kereta api funikular di Bukit Bendera, dekat sini yang tergendala sejak jam 8 malam semalam beroperasi semula pada jam 4.45 petang hari ini.

Perbadanan Bukit Bendera (PHC) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kawasan pelancongan itu sudah dibuka semula kepada orang ramai selepas kerosakan sistem kereta api funikular itu pulih sepenuhnya.

"Pasukan kami telah menjalankan kerja-kerja membaik pulih sistem yang rosak semalam dan ia sudah berjaya diatasi. Perkhidmatan kereta api mula beroperasi semula pada jam 4.45 petang manakala kaunter tiket dibuka kepada orang ramai sekitar jam 4.30 petang.

“Kami meminta maaf dan kesal atas apa yang telah berlaku dan berharap orang ramai akan terus berkunjung ke Bukit Bendera. Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan dan kesabaran kerana memahami masalah yang berlaku semalam,” menurut kenyataan itu.

Semalam, lebih 900 pengunjung terkandas di Bukit Bendera selepas perkhidmatan kereta api funikular di pusat pelancongan itu tergendala sejak jam 8 malam semalam.

Operasi membawa turun pengunjung yang terjejas itu bermula jam 8.30 malam dan tamat sepenuhnya kira-kira jam 1.03 pagi serta kesemua mereka berada dalam keadaan selamat.

Semalam, PHC dalam kenyataan berkata, kereta api funikular tersebut tergendala akibat masalah kerosakan sistem.

Kejadian itu turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan rasa dukacita terhadap insiden itu.

Artikel Berkaitan:

Al-Sultan Abdullah berharap masalah brek hidraulik kereta api funikular itu dapat diselenggara dan langkah-langkah diambil dengan segera agar kejadian semalam tidak berulang. - Bernama