13 penjara melebihi kapasiti banduan 5.8 peratus

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 13 penjara di seluruh negara didapati melebihi kapasiti banduan ditetapkan sebanyak 5.8 peratus atau 4,153 orang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, antara penjara yang dikenal pasti ialah di Kota Kinabalu, Sabah; Pengkalan Chepa, Kelantan dan Marang, Terengganu dengan penghuni di 40 penjara sebanyak 75,629 orang.

“Kalau ikut standard antarabangsa, lebihan ini tidak boleh melampaui 20 peratus.

“Kerajaan akan berusaha mengurangkan kesesakan ini dengan mewujudkan penjara kemasukan bagi penghuni baharu iaitu mereka ditempatkan antara empat hingga lima minggu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengenai langkah kerajaan mengatasi isu kesesakan banduan dalam Dewan Rakyat di Kuala Lumpur pada Selasa.

Menurut Saifuddin, beberapa langkah diambil bagi mengurangkan kesesakan itu dengan mengguna pakai beberapa peruntukan di bawah Akta Penjara Seksyen 43 dan 46 iaitu pengenalan parol, pembebasan berlesen serta perintah kehadiran wajib.

“Sejak parol dilaksanakan pada 2008, lebih 40,000 banduan dikeluarkan, 23,000 menerusi pembebasan berlesen manakala perintah kehadiran wajib memberi manfaat kepada 6,000 orang.

“Hukuman alternatif juga dilaksanakan dan sedang meneroka bagi pelaksanaan di rumah dengan pemasangan peranti. Ia masih belum dibuat tetapi sudah di fasa akhir untuk menguruskan dari sudut tafsiran undang-undang,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kerajaan juga akan meminda Akta Penagih Dadah yang merupakan penghuni paling ramai di penjara terutama bagi kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan.

“Mereka yang melakukan kesalahan ini akan dihantar terus ke pusat pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Di penjara sekarang, 35 peratus adalah tahanan reman dan kadang-kadang tempoh berkenaan lebih lama daripada pendakwaan.

“Ini satu kezaliman kepada mereka. Jadi, Jabatan Penjara, Peguam Negara dan Jabatan Kehakiman sedang berbincang mengenai, apakah kes boleh diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut,” katanya lagi.