PM ingatkan syarikat jaga kepentingan bumiputera tidak khianati amanah

Anwar berucap pada majlis pelancaran Unit Tambahan Dana Amanah Hartanah Bumiputera, pada Selasa. - Foto Bernama
Anwar berucap pada majlis pelancaran Unit Tambahan Dana Amanah Hartanah Bumiputera, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan syarikat yang menjaga kepentingan bumiputera supaya tidak mengkhianati amanah diletakkan dalam menjaga kepentingan golongan itu.

Beliau berkata, ini kerana kerajaan pernah berdepan 'pengalaman buruk' kerana terpaksa memberi suntikan tambahan kepada syarikat berkaitan akibat tadbir urus yang lemah bagi menyelamatkan pegangan bumiputera.

"Satu pihak pengurusannya itu amat bobrok, sehingga merosakkan dan merugikan. Pengalaman ini menyakitkan, kerana kita lihat umpamanya Felda memerlukan suntikan RM8.3 bilion kerana pengurusan dan tatakelola lemah.

"Kita ada lagi yang melibatkan syarikat yang memerlukan suntikan RM2.7 bilion daripada kerajaan untuk menyelamatkan daripada terlepas daripada tangan bumiputera,” katanya pada Majlis Pelancaran Unit Tambahan Skim Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) di sini pada Selasa.

Perdana Menteri berkata, keadaan sama turut berlaku kepada Tabung Haji sebelum ini yang berdepan masalah kerugian aset walaupun kini pengurusannya bertambah baik.

Anwar berkata, beliau tidak boleh mengizinkan perkara seumpama itu berlaku lagi dalam pentadbirannya kerana ia hanya menyebabkan pembaziran kewangan kerajaan.

"Pengurusan profesional harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya, sekiranya terdapat penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan berlaku dan tindakan keras akan diambil terhadap mereka kerana ini bukan hanya mengkhianati amanah biasa tetapi mengkhianati amanah yang sangat diharapkan oleh bumiputera," katanya.

Dalam pada itu, Anwar mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), Tan Sri Ahmad Nizam Salleh serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Mohamad Damshal Awang Damit kerana pengurusan yang membanggakan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, PHB bukan sahaja dapat mempertahankan keuntungan malah memberi bimbingan kepada bumiputera untuk menguruskan pelaburan dengan berhemah.

"Tentunya nilai integriti kita boleh tunjuk bahawa kita perlukan sedikit bimbingan di peringkat awal dan kemudian kami dapat uruskan dengan sebaik mungkin dengan amanah dan tidak ada kecurangan berlaku dan seterusnya jadi contoh dan teladan," katanya. - Bernama